Wednesday, 21/08/2019


Strategi Ahmad Yusof buah hasil

Published on October 11, 2010 by   ·   No Comments

Sang KenariPERCATURAN Kedah menurunkan pemain muda dalam separuh masa pertama saingan Kumpulan C Piala Malaysia bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Darulaman malam semalam jelas membuahkan hasil apabila Kedah mencatatkan kemenangan besar dan layak ke suku akhir.

Jurulatih Kedah Ahmad Yusuf berkata beliau mengambil keputusan untuk merehatkan beberapa pemain senior dan menggantikannya dengan pemain muda supaya pemain-pemain muda dapat memberi tekanan kepada lawan dan menyebabkan mereka keletihan.

Katanya walaupun gagal mendapatkan sebarang gol pada separuh masa pertama selepas menguasai perlawanan dan mempunyai beberapa peluang gol, anak-anak buahnya tidak patah semangat dan berjaya menjaringkan empat gol pada separuh masa kedua apabila pemain-pemain berpengalaman dimasukkan.

“Strategi saya menjadi. Separuh masa kedua, akibat tekanan pemain-pemain muda saya pada separuh masa pertama, pemain lawan keletihan. Saya ambil peluang ini untuk masukkan pemain-pemain berpengalaman dan mereka terutama Khyril Muhymeen berjaya mengubah keadaan,” katanya.

Dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan semalam, Kedah memerlukan kemenangan untuk layak ke suku akhir sambil mengharapkan Perak kalah kepada Johor FC dalam perlawanan di Stadium Perak di Ipoh.

Kedah berjaya layak ke suku akhir setelah mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas ATM manakala Perak tumpas 0-1 kepada Johor FC.

Sementara itu, Pengurus pasukan Kedah Datuk Khazali Din berkata berikutan kejayaan layak ke saingan suku akhir Piala Malaysia, bonus kemenangan perlawanan malam tadi untuk semua pemain dan beberapa pegawai terlibat akan dibayar dua kali ganda daripada jumlah biasa.

“Kebiasaannya RM400. Bonus perlawanan kali ini jadi RM800 untuk semua yang kita daftarkan malam ini,” katanya.

Bagaimanapun, Khazali melahirkan sedikit kegusaran apabila pasukan Kedah terpaksa bertungkus lumus untuk layak ke suku akhir dan terpaksa menanti saat-saat untuk mengetahui nasib mereka.

Katanya dalam perlawanan berkenaan, pemain-pemain bermain dalam keadaan yang amat tertekan manakala ATM yang sudah terkeluar dalam saingan Piala Malaysia bertahan dengan begitu baik pada separuh masa pertama.




coded by nessus

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News