Tuesday, 27/10/2020


Skuad muda Perlis mampu pergi lebih jauh

Published on October 18, 2010 by   ·   No Comments

KETUA jurulatih Perlis, Yunus Alif jelas tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa selepas melihat aksi longlai anak buahnya ketika tersingkir daripada saingan Piala Malaysia di Stadium Utama Negeri Kangar, kelmarin.

Kekalahan dengan jaringan 3-1 kepada Negeri Sembilan itu sememangnya tidak diduga apatah lagi Singa Utara turun berbekalkan semangat tinggi serta kelebihan beraksi di depan ribuan penyokong sendiri.

“Walaupun ketinggalan dengan satu gol dalam perlawanan pertama, saya yakin kami masih mampu tetapi sebaliknya yang berlaku, malah tewas 3-1 untuk membolehkan lawan mara dengan agregat 4-1,” katanya, semalam.

Biarpun diberi saingan hebat sebaik wisel dimulakan, Negeri Sembilan meledakkan dua jaringan di babak pertama menerusi Abdul Halim Zainal (minit 24, 30) dan menambah satu lagi gol di babak kedua (Shukor Adan, 74) menjadikan 3-0 sebelum Perlis mendapat gol sagu hati di minit akhir perlawanan.

“Jaringan awal itu mengubah rentak permainan pasukan kerana lawan memiliki kelebihan dua jaringan. Ini menyebabkan pemain tertekan dan ketika rehat, saya dapat melihat mereka agak kecewa dan jelas apabila permainan disambung, mereka gagal menyerlah,” kata Yunus.

Sambil mahu melihat sinar dalam kekalahan itu, Yunus berkata, biarpun Singa Utara gagal ke separuh akhir, skuad dianggotai lebih 85 peratus tenaga muda itu berpotensi untuk pergi lebih jauh dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

“Saya yakin skuad ini mampu menyinar. Rata-rata pemain berusia 19 dan 25 tahun dan dengan pengalaman berguna pada aksi sepanjang musim ini, jangan terkejut Perlis tampil dengan lebih baik musim depan,” katanya.




coded by nessus

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News