Saturday, 08/08/2020


Seri tanpa jaringan beri kelebihan kepada Selangor

Published on October 14, 2010 by   ·   No Comments

MESKIPUN sekadar seri tanpa jaringan dengan Kelantan di Stadium Shah Alam kelmarin, jurulatih Selangor, K Devan tetap menganggap pasukannya memiliki kelebihan untuk layak ke separuh akhir.

Menurut Devan, Selangor kini hanya perlu mencari keputusan seri 1-1 atau kemenangan tipis pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam esok.

“Keputusan seri ini memang sedikit mengecewakan kerana kita sebenarnya memperoleh banyak peluang, cuma nasib kurang baik. Tapi saya tetap puji kesungguhan pemain.

“Namun saya masih beranggapan keputusan seri ini satu kelebihan buat Selangor kerana kita berjaya menyekat Kelantan daripada memperoleh kelebihan gol di tempat lawan.

“Jadi di Kota Bharu nanti, kita perlu cari gol awal untuk menang. Jika seri 0-0, perlawanan akan ke masa tambahan tetapi andai seri 1-1, Selangor akan ke separuh akhir,” kata Devan ketika ditemui selepas perlawanan.

Keputusan seri tanpa jaringan kelmarin banyak dibantu kecekapan kedua-dua penjaga gol iaitu Hamsani Ahmad (Selangor) dan Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan) menafikan percubaan tepat lawan masing-masing.

Hamsani menafikan beberapa percubaan berbahaya menerusi Akmal Rizal Rakhli, Norshahrul Idlan Talaha dan Nor Farhan Muhammad manakala Khairul pula pantas menidakkan dua peluang terbaik dicipta Amirulhadi Zainal dan Asraruddin Putra Omar.

Sementara itu, Selangor bakal turun tanpa P Gunalan manakala Kelantan tanpa Norshahrul untuk aksi malam esok selepas kedua-duanya digantung akibat kad merah selepas bercakaran pada penghujung babak pertama.

“Saya tak nampak insiden itu. Tapi ia memang mengganggu rentak pasukan kerana perancangan taktikal saya adalah untuk 11 pemain, bukannya 10 pemain sepanjang babak kedua.

“Apa pun, untuk perlawanan kedua nanti, saya mahu para pemain hanya fokus aksi di tengah padang dan mereka tak perlu hirau provokasi atau kekacauan yang ditimbulkan penyokong Kelantan di luar padang,” jelas Devan.




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News