Saturday, 18/01/2020


Selangor turunkan barisan terkuat

Published on October 12, 2010 by   ·   2 Comments

Selangor vs Kelantan

KETUA Jurulatih Selangor, K Devan dijangka menurunkan kesebelasan pemain terkuat bagi mengekang asakan menggila pemain Kelantan dalam perlawanan suku akhir pertama TM Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.

“Saya sebenarnya menjangkakan kita boleh bertemu Kelantan sama ada di peringkat separuh akhir atau perlawanan akhir. Tetapi kita tidak menyangka bertemu lebih awal pada peringkat ini (suku akhir),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Ini merupakan satu perlawanan yang cukup menarik bagi kedua-dua pasukan. Sudah pasti tumpuan peminat bukan sahaja dari Selangor atau Kelantan malahan di seluruh negara sekali pun menantikan keputusan perlawanan ini.

“Ini merupakan peluang terbaik Selangor bagi mencari seberapa banyak gol penting kerana kita mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri malam ini. Peringatan ini cukup penting kepada pemain saya sebelum kita menghadapi ujian getir di Kota Bharu Jumaat ini,” katanya. kepada Sinar Harian.

Devan berkata, beliau tetap menghormati pasukan bimbingan B Sathianathan yang disifatkan mempunyai barisan pemain yang serba lengkap di segenap posisi.

“Kelantan jelas memiliki pemain yang boleh membuat pasukan Selangor tersungkur. Tidak mudah menghadapi perlawanan ini. Kami perlu berhati-hati bertemu dengan Kelantan. Walau apa pun, saya mengharapkan satu persembahan terbaik daripada pemain saya bagi menghidupkan peluang ke peringkat seterusnya.

“Mereka boleh mengubah keputusan dengan tiba-tiba. Ini bahayanya pasukan Kelantan. Begitu pun, saya percaya hanya pasukan yang menunjukkan permainan yang baik, meminimumkan kesilapan berhak muncul sebagai pemenang,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan pasukannya, Devan cukup gembira kerana semua pemainnya bebas daripada masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan.

“Semua pemain saya bebas dari masalah itu. Saya bersedia menurunkan barisan terkuat malam ini. Amirulhadi (Zainal), Amri (Yahyah), Safee (Mohd Sali) dan Khairul Annuar (Baharum) berada dalam senarai pemain yang akan saya turunkan,” katanya.

Sementara itu, Devan secara terbuka sekali lagi turut mengulangi hasratnya untuk membawa pasukan Selangor menjulang piala paling berprestij di negara ini.

“Saya tidak mahu kesilapan musim lalu berulang kembali. Kita tewas di peringkat suku akhir di tangan Terengganu menerusi penentuan tendangan penalti. Saya tidak mahu situasi yang sama berulang lagi.

“Ini adalah peluang terbaik kita menjulang piala setelah kali terakhir berbuat demikian pada 2005. Kita mempunyai pasukan mantap dan barisan pemain berkualiti.

“Tambahan pula sokongan pengurusan yang cukup efektif menjaga kebajikan pemain dengan pelbagai insentif dan bonus yang menarik. Jadi saya tidak nampak mengapa pemain saya tidak boleh membawa pulang piala itu ke Shah Alam tahun ini,” katanya.




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (2)

  1. hohoho says:

    terkuat da ke tu?

  2. aina says:

    APA ABANG ANGKAT SAYA:SHAHRUL TALAHA KENA KAD MARAH .SAYA GERAM SANGAT KENA KAD MARAH.TAK DIA TAK BEST.DAH KALAH KENA FIKIR PAKWEN SY IALAH ISKANDAR(ABANG SAYA PUNYA KAWAN BAIK ) HARI JADI SAYA 23/2/1996.HOPITAL BESAR KOTA BHARU,KELANTAN.SAYA PUNYA PAKWEN 1-4




Latest News