Wednesday, 21/08/2019


Selangor kekal rekod sempurna

Published on October 10, 2010 by   ·   No Comments

SelangorSELANGOR muncul pasukan tunggal yang berjaya mencatat rekod kemenangan sempurna selepas memenangi semua enam perlawanan peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia 2010.

Di Stadium Utama, Kangar malam tadi Selangor mencipta kemenangan keenam bagi menutup aksi Kumpulan D dengan 18 mata maksimum sekaligus bakal membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan A, Kelantan di suku akhir Selasa ini (12 Oktober).

Suku akhir pertama akan berlangsung di Stadium Shah Alam manakala perlawanan timbal balik kedua di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu pada Jumaat.

Aksi suku akhir kedua terpaksa diawalkan sehari berbanding tiga perlawanan lain kerana Selangor perlu bertemu Singapura untuk aksi Piala Sultan Selangor 2010 pada Sabtu ini.

Pada pertemuan dengan Perlis malam tadi, jurulatih Selangor, K Devan hanya menurunkan barisan kedua apabila merehatkan beberapa tonggak utama daripada membarisi kesebelasan seperti Hamsani Ahmad, Khairul Anuar Baharom, P Gunalan, Hardi Jaafar, Amri Yahyah dan Safee Sali.

Terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Selangor akhirnya berjaya memperolehi gol pertama menerusi Amirulhadi Zainal pada minit ke-55.

Tiga mata penuh sah milik Selangor apabila Amirulhadi sekali lagi menjaringkan gol kedua pelawat pada minit ke-88.

Jika berjaya mengetepikan Kelantan pada peringkat suku akhir, Selangor bakal bertemu pemenang antara Terengganu dan Kedah pada aksi separuh akhir nanti.

Dua lagi perlawanan suku akhir menyaksikan Negeri Sembilan bertemu Perlis manakala Johor FC bertemu Pahang.

Pada saingan Piala Malaysia musim lalu, Selangor terkandas di peringkat suku akhir kepada satu lagi pasukan dari Pantai Timur, Terengganu menerusi penentuan penalti.




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News