Wednesday, 20/06/2018


Pergaduhan penyokong: FAS didenda RM67,500, KAFA kena RM57,500

Published on October 19, 2010 by   ·   No Comments

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM67,500 terhadap Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan RM57,500 ke atas Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berikutan insiden pergaduhan penyokong kedua-dua pasukan pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Selasa lepas.

Pengerusi khas jawatankuasa pertandingan tempatan FAM Datuk Dr Omar Othman berkata FAS didenda kerana melakukan tiga kesalahan manakala KAFA bagi dua kesalahan.

“Setelah meneliti laporan daripada semua pihak, kita dapati bahawa kedua-dua pasukan terbabit dalam pergaduhan yang berlaku di dalam dan luar stadium,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat di Wisma FAM pada Selasa.

Omar yang juga Naib Presiden 1 Persatuan Bolasepak Pahang berkata, setiap pasukan didenda RM50,000 kerana melanggar peraturan Liga Malaysia.

“FAS dan KAFA juga perlu berkongsi untuk membayar kerosakan Stadium Shah Alam bernilai RM15,000, (iaitu) sebanyak RM7,500 bagi setiap pasukan” katanya.

Beliau berkata, FAS sebagai tuan rumah, turut didenda RM10,000 kerana gagal memenuhi ciri-ciri keselamatan stadium seperti yang ditetapkan oleh peraturan Liga Malaysia.

“Keputusan ini dibuat secara adil kerana ia mengambil kira penjelasan kedua pihak, laporan polis dan laporan perlawanan daripada jawatankuasa FAM,” katanya.

Omar berkata FAM berharap tindakan terhadap FAS dan KAFA akan menjadi pengajaran kepada semua pasukan bolasepak lain yang terlibat dalam Liga Malaysia.

“Bermula dari insiden ini, FAM akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pasukan yang didapati bersalah dan tidak akan berkompromi dalam hal keselamatan,” katanya.

Pada musim lepas, KAFA didenda RM50,000 gara-gara tindakan liar penyokongnya ketika menentang Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selain itu, pasukan berkenaan turut diarah menanggung kos kerosakan stadium yang berjumlah RM138,150.




coded by nessus

Tags: , , , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News