Saturday, 15/12/2018


Penyokong bantah KAFA jual tiket secara pakej

Published on October 27, 2010 by   ·   No Comments

KELAB Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net) akan memulaukan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bertegas mahu menjual tiket secara berpakej.

Timbalan Presidennya Nik Mohd Salehuddin Nik Abdul Razak berkata tindakan KAFA itu bagaikan mengambil kesempatan di sebalik keghairahan untuk memberi sokongan kepada pasukan bola sepak negeri itu.

“Saya bagi pihak kelab penyokong melahirkan rasa kecewa dan dukacita dengan tindakan KAFA menjual tiket secara berpakej yang sangat membebankan kami,” katanya kepada BERNAMA semalam.

Kelmarin Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir itu mula dijual semalam secara berpakej iaitu berharga RM40.

Melalui pakej itu, pembeli bukan sahaja terpaksa membayar harga asal tiket tetapi turut dikenakan caj merangkumi cenderamata “The Red Warriors”.

Tindakan itu menyebabkan penyokong Kelantan yang mahu mendapatkan tiket itu semalam berang dengan langkah KAFA itu menyebabkan penjualan tiket terpaksa dihentikan sementara.

Nik Mohd Salehuddin berkata sewajarnya KAFA menjual tiket pada harga sebenar semata-mata dan bukannya membebankan penyokong supaya turut sama membeli cenderamata itu.

Sementara itu Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa semalam memberi jaminan peminat boleh membeli tiket dengan harga asal RM30 tanpa ‘dipaksa’ membayar tambahan RM10 secara pakej.

Begitupun Annuar berkata tiket berharga RM30 itu hanya akan dijual sebanyak 10,000 keping sahaja, manakala selebihnya sebanyak 10,000 tetap akan dijual dengan harga pakej berharga RM40 termasuk ‘cenderamata’. Baki 10,000 keping tiket lagi diperuntukkan untuk rombongan kelab penyokong.

Isu harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia mula timbul apabila Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin mengumumkan kenaikan sebanyak RM10 daripada harga asal RM20 bagi tempat duduk terbuka.

Manakala bagi tempat duduk utama kenaikan sebanyak RM20 menjadikan harga tiket sebanyak RM50 berbanding tahun lalu.

Kenaikan harga tiket hanya diumumkan oleh Dato’ Hamidin pada Isnin lalu iaitu dua hari selepas pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan menewaskan lawan masing-masing untuk mengulangi aksi final musim lepas.

Peminat melihat FAM cuba menangguk di air keruh kerana final kali ini dijangka dipenuhi puluhan ribu penyokong khasnya peminat The Red Warriors yang mempunyai misi balas dendam selepas Kelantan tewas 1-3 kepada skuad Hoben Jang Hoben di pentas akhir 2009.

Peminat kedua-dua pasukan melahir rasa tidak puas hati kerana ia hanya diumum pada saat-saat akhir dan bukannya semasa saingan Piala Malaysia bermula pertengahan September lalu.

Jika FAM mengumumkan harga tiket sejak awal ia mungkin tidak menjadi isu kerana belum diketahui pasukan mana yang mara ke perlawanan akhir.

Bahkan ada yang menyindir jika bukan pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir harga tiket mungkin kekal pada paras RM20.




coded by nessus

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News