Tuesday, 27/06/2017


Gantung jurulatih: Peminat sifatkan FAM zalim

Published on October 25, 2010 by   ·   1 Comment

Keputusan FAM gantung Sathianathan enam bulan tak masuk akal

“FAM zalim. Ini adalah salah satu cara membunuh masa depan bola sepak Kelantan.”

Demikian pendirian sebahagian besar peminat pasukan bola sepak Kelantan yang menyifatkan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggantung B Sathianathan selama enam bulan sebagai agak keterlaluan dan tidak setimpal dengan kesalahan didakwa.

Semalam lebih 50 ahli Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net) berhimpun secara aman di perkarangan Stadium Sultan Mohd Ke-IV bagi membantah keputusan FAM menggantung Sathianathan selama enam bulan berkuatkuasa Sabtu lalu iaitu hari di mana Kelantan berdepan Kedah pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2010.

Sambil melahir rasa terkejut, Presiden Kelate.net, Marhasim Mat menyifatkan keputusan Jawatankuasa Disiplin FAM itu sebagai ‘tidak bertamadun’ dan berkemungkinan sebagai cubaan menjatuhkan moral pemain yang semakin memuncak akhir-akhir ini.

“Kami terkejut dengan keputusan FAM. Bagi saya, kesalahan yang dilakukan oleh B Sathianathan bukanlah sesuatu yang serius.

“Sathia hanya meluahkan apa yang difikirkan betul demi kebaikan pasukan dan kenapa beliau dihukum sedemikian. Apakah komennya itu tidak benar? Jika tidak benar, FAM perlu jawab bukannya berdiam dan kemudian keluar dengan tindakan seperti ini.

“Tindakan tersebut jelas menunjukkan FAM seolah-olah sebuah persatuan yang sangat kebal sehinggakan langsung tidak boleh dikritik walaupun untuk kebaikan,” kata Marhasim sebagaimana dilaporkan menerusi segmen Sukan Kosmo hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Sathianathan dihukum atas kesalahan memberi kenyataan kepada media berhubung stadium tuan rumah bagi perlawanan antara Perlis dan Terengganu dalam saingan Liga Super.

Marhasim berkata, Tindakan FAM jelas menunjukkan sikap prejudis persatuan tersebut kepada pasukan Kelantan yang semakin meningkat biarpun dilanda pelbagai kontroversi.

“Inilah mentaliti FAM, bila kena kritik, orang yang mengkritik akan terus diambil tindakan. Jika ini berterusan bola sepak Malaysia tidak akan pergi jauh.

“Pihak kami menganggap tempoh penggantungan selama enam bulan itu dilihat sesuatu yang tidak masuk akal dan kami minta keputusan ini ditarik balik,” katanya menurut laporan Kosmo.

Dalam isu yang sama, Marhasim meminta supaya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengemukakan surat rayuan terhadap FAM supaya menarik balik hukuman itu atau paling kurang ditangguhkan terlebih dahulu sementara selesai perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Katanya, andai tiada sebarang maklum balas positif diambil oleh FAM mengenai perkara itu, beliau bercadang untuk membawa ahli kelab itu mengadakan demonstrasi di hadapan Wisma FAM bagi menunjukkan sokongan kepada Sathia.

Dalam pada itu Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang turut kecewa dengan perkembangan berkenaan meminta pengurusan pasukan dan penyokong setia bersabar dan memberi sokongan moral kepada pemain Kelantan sebelum final ini.

“Saya terperanjat sebab kes itu (membabitkan komen Sathia mengenai stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika Liga Super, musim lalu) sudah berlaku dua atau tiga bulan lalu dan ketika kita berada di saat genting memerlukan jurulatih. Tapi tiba-tiba kami tidak dapat khidmatnya.

“Saya minta pemain bermain dengan baik, jika mereka sayang kepada presiden dan jurulatih, mereka perlu berjanji untuk menang,” katanya selepas menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua antara Kelantan dan Kedah di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, malam kelmarin.

Sementara itu, Sathia berkata dia terkilan dengan hukuman agak berat itu yang dilihat bersamaan dengan tarikh perlawanan penting malam kelmarin iaitu pada saat Kelantan amat memerlukan kemenangan.

“Apapun saya akan membuat rayuan kepada FAM bagi mengetahui status saya dengan lebih jelas nanti,” katanya.




coded by nessus

Tags: , ,

Readers Comments (1)

  1. Berani Mati says:

    sabar Abe Sathia (abe Ya)set penyokong kelate ado belakang Abe ya.




Latest News