Tuesday, 27/10/2020


N.Sembilan garang benam Perlis

Published on October 17, 2010 by   ·   1 Comment

PENYANDANG juara, Negeri Sembilan mempamer aksi garang dalam kempen mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia selepas membenam Perlis 3-1 pada saingan suku akhir kedua di Stadium Utama untuk layak ke separuh akhir dengan agregat 4-1, malam tadi. [LIHAT VIDEO]

Beraksi di depan ribuan penyokong lawan, skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu, yang menang 1-0 pada suku akhir pertama langsung tidak mempunyai masalah untuk menjinakkan Singa Utara apabila membuka jaringan pada minit ke-24 menerusi Abdul Halim Zainal.

Kesilapan penjaga gol Perlis, Suhardy Elby menepis lemah sepakan percuma Shukor Adan pantas disambut oleh Abdul Halim yang tidak dikawal di dalam petak penalti tenang merembat masuk. Berang melihat aksi buruk yang dipamer bahagian pertahanan, penyokong tuan rumah membuat kecoh dengan membaling batu ke dalam padang pada minit ke-35, menyebabkan perlawanan terhenti kira-kira 10 minit.

Sebaik saingan disambung Abdul Halim sekali lagi menambah derita Perlis dengan gol kedua pada minit ke-40, kali ini menerusi rembatan cantik dari luar petak penalti selepas menerima lorongan S. Kunanlan.

Usaha Perlis untuk bangkit pada separuh masa kedua terencat, sebaliknya Negeri Sembilan berjaya menambah gol ketiga melalui bekas pemain kebangsaan, Shukor Adan pada minit ke-74. Gol tunggal Perlis disumbangkan oleh Azrul Ahmad menerusi sepakan penalti pada minit ke-89.

Menanti Negeri Sembilan pada separuh akhir, Rabu ini ialah pasukan berstatus kelab, Johor FC yang menyingkirkan Pahang sekalipun tumpas 2-1 di Stadium Darul Makmur. Kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas Johor FC menang 1-0 pada suku akhir pertama, namun mereka mara menerusi peraturan gol di gelanggang lawan.




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (1)

  1. aina says:

    MESTI JUMPA NS DGN KEL




Latest News