Wednesday, 28/06/2017


Kelantan, Negeri Sembilan ulangi FINAL 2009

Published on October 23, 2010 by   ·   No Comments

BAGAIKAN ulangan perlawanan akhir tahun lalu, Kelantan dan Negeri Sembilan sekali lagi bertemu pada pentas akhir bagi merebut kejuaraan Piala Malaysia edisi ke-84 di Stadium Bukit Jalil, 30 Oktober ini.

Jaringan tunggal daripada pemain kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-79 ekoran kesilapan penjaga gol Kedah, Mohd Helmi Eliza Elias sudah cukup buat skuad Red Warriors menyingkirkan pasukan Kenari dalam aksi di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV. [LIHAT VIDEO]

Gol tersebut membawa Kelantan ke pentas perlawanan akhir untuk dua musim berturut-turut menyebabkan stadium bertukar menjadi gegak gempita dengan sorakan padu lebih 20,000 penyokong fanatik tuan rumah.

Kehadiran semula Norshahrul dalam kesebelasan utama Kelantan ternyata membawa masalah kepada pasukan pelawat apabila merencanakan hampir setiap serangan Red Warriors.

Norshahrul hanya memerlukan tempoh empat minit untuk menguji gawang Kedah, namun percubaannya pada minit kedua terkena tiang gol sebelum satu lagi rembatan kaki kirinya melebih palang gol, Mohd Helmi Eliza Elias.

Percubaan pertama Kedah hadir seawal minit ke-11 melalui Mohd Faizal Abu Bakar, namun sepakan leret diambilnya singgah di sebelah kanan gawang penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Selepas asakan bertali arus, Norshahrul akhirnya menjadi pemusnah apabila sepakan sudut yang diambilnya melencong masuk ke dalam gawang dan gagal dibaca dengan baik oleh Mohd Helmi yang tertumbuk ke dalam gawang sendiri.

“Kemenangan ini saya hadiahkan kepada semua penyokong setia Kelantan yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada kami.

“Mungkin ketiadaan saya dalam dua perlawanan ekoran penggantungan memberikan kelebihan kepada saya untuk beraksi baik membantu Kelantan mendapatkan gol,” katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, Negeri Sembilan bangkit menebus maruahnya yang tercalar di Paroi minggu lalu untuk mengatasi Johor FC 2-0 di gelanggang lawan apabila mara dengan kelebihan agregat 2-1.

Kemenangan itu melayakkan pasukan Negeri Sembilan ke Bukit Jalil buat kali kedua berturut-turut sekali gus menghancurkan harapan Sang Lebah untuk beraksi buat pertama kali.

Jaringan pertama disumbangkan oleh Mohd. Shukor Adan pada minit ke-36 melalui satu tandukan yang menerjah gawang lawan.

Gol kedua dijaringkan oleh Shahurain Abu Samah pada minit ke-60 separuh masa kedua melalui tendangan penalti selepas S. Kunalan dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Skuad Lebah semakin hilang punca apabila pemain pertahanan mereka, Mohamad Izuan Jarudin dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua.

Perlawanan juga tergendala selama dua minit pada minit ke-84 apabila penyokong tuan rumah membaling botol ke dalam padang gara-gara membantah keputusan pengadil, namun pasukan keselamatan dapat mengawal keadaan.




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News