Saturday, 08/08/2020


Kedah cari strategi terbaik tundukkan Kelantan

Published on October 18, 2010 by   ·   No Comments

KEBANGKITAN Kedah yang layak ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia selepas mengalami ‘mimpi buruk’ musim lalu memberi keyakinan kepada Hijau Kuning bahawa mereka mampu mengulangi kejayaan berprestij itu.

Musim lepas, Sang Kenari yang merupakan juara pada edisi 2008 tersingkir awal apabila gagal ke peringkat suku akhir sehingga mencetuskan resah kepada para penyokong setianya mengenai keupayaan pasukan bimbingan Ahmad Yusoff itu untuk bersaing merebut Piala Malaysia tahun ini.

Biarpun mengharungi tugas penuh liku untuk melepasi peringkat kumpulan, skuad Kedah mempamerkan kebangkitan apabila menjinakkan Terengganu dengan agregat 5-2 pada peringkat suku akhir sekali gus mencerahkan peluangnya untuk mengintai aksi perlawanan akhir kedua pada musim ini selepas Piala FA.

Ahmad berkata, ketika bertemu Terengganu di Stadium Darul Aman kelmarin, kesebelasan Kedah beraksi dengan baik dan menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memenangi perlawanan tersebut.

Lebih positif, katanya, persefahaman di kalangan pemain juga menampakkan peningkatan ketara, namun beranggapan masih ada ruang yang perlu diperbaiki bagi memantapkan persembahan.

Kedah bagaimanapun menyedari mereka menghadapi cabaran getir apabila bakal berdepan dengan pasukan Kelantan pada perlawanan separuh akhir yang diadakan secara timbal balik masing-masing pada Rabu ini di Kota Bharu dan di gelanggang sendiri beberapa hari kemudian.

Menurut Ahmad, kemenangan ke atas Terengganu tidak seharusnya membuatkan pemainnya alpa tetapi mahu mereka menjadikannya sebagai pendorong untuk beraksi dengan lebih baik menentang sebuah lagi pasukan dari pantai timur itu.

“Hanya ada tiga hari lagi sebelum perlawanan separuh akhir pertama, jadi kami perlu ‘lupakan’ kemenangan itu dengan memberi sepenuh fokus terhadap perlawanan penting menentang Kelantan,” katanya di sini, semalam.

Kunjungan Sang Kenari ke Kota Bharu sedikit tempang apabila dua tonggaknya iaitu Sabre Mat Abu dan Khairul Helmi Johari tidak dapat beraksi kerana digantung perlawanan selepas menerima layangan kad kuning serta merah.

Berikutan itu, katanya, kem Kedah akan mengatur strategi terbaik untuk memerangkap Kelantan dan percaya mempunyai barisan pemain yang sentiasa bersedia menggalas tugas dengan penuh komited apabila diturunkan beraksi.

Utusan Malaysia




coded by nessus

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News