Wednesday, 21/08/2019


Impian Johor FC jadi realiti

Published on October 18, 2010 by   ·   No Comments

IMPIAN menjadi realiti. Itulah yang dialami Johor FC apabila layak ke separuh akhir Piala Malaysia buat kali kedua selepas mengecapi kali pertama dua musim lalu, sekali gus melonjakkan nama Azuan Zain selaku pengendali pasukan berstatus kelab itu.

Meskipun tewas 2-1 kepada Pahang, Johor FC mara ke saingan separuh akhir menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat secara agregat 2-2, dan ia menggembirakan Azuan yang sekadar meletak sasaran layak ke suku akhir pada awalnya.

Katanya, aksi kedua sememangnya mencabar terutama kebangkitan Pahang yang menjaringkan dua gol meskipun Johor FC lebih dulu selesa dengan gol awal sebelum diasak dengan corak permainan tuan rumah yang beraksi dengan 10 pemain.

“Dua gol Pahang berpunca dari kelekaan benteng pertahanan yang membiarkan Mohd Shahrizan Mohd Salleh dan Faizul Hussein menanduk bola masuk sehingga nyaris menyingkirkan Johor FC.

“Apapun gol jaringan Eddy Helmi Manan di awal babak pertama cukup melegakan bagi memastikan Johor FC bertahan untuk mengekalkan kedudukan agregat 2-2 dan layak dengan kelebihan jaringan gol di tempat lawan.

“Saya hanya sedikit terkilan dengan tindakan penjaga gol, Mohd Anis Faron yang dilayangkan kad kuning akibat melambatkan permainan. Sepatutnya dia tidak harus bertindak begitu kerana ia menjejas tumpuan pemain Johor FC,” katanya.

Azuan yang tidak melakukan sebarang perubahan di benteng pertahanan dengan mengekalkan Mohd Izuan Jarudin, Badrul Abdul Khalid dan Mohd Hamzani Omar kini perlu mencari formula terbaik bagi menguatkan benteng pertahanan apabila berdepan Negeri Sembilan dalam saingan separuh akhir pertama di Stadium Paroi, Rabu ini.

“Saya memasukkan Mat Saiful Mohamad di penghujung babak kedua dan pemain itu menunjukkan permainan yang agak baik selepas lama diketepikan kerana kecederaan, dan saya merancang menurunkannya pada aksi pertama separuh akhir nanti,” katanya.

Berita Harian

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News