Sunday, 08/12/2019


Wan Jamak sudah patah semangat

Published on April 11, 2010 by   ·   No Comments

JURULATIH Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan mengakui dia patah semangat seketika selepas melihat sepakan penalti pertama Mohd Zaquan Abd Radzak dan selepas itu M Asyraf Al Jafri gagal menggegar gawang Kedah ketika sepakan penalti penentuan pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Permainan 120 minit yang terikat pada kedudukan 1-1 itu memaksa sepakan penalti menjadi penentu untuk pasukan bergelar juara dan Kedah mempunyai kelebihan sebaik sepakan Zaquan diselamatkan penjaga gol Helmi Eliza Elias.

“Kalau anda duduk di tempat saya, anda akan merasakan seperti saya yang nak pecah kepala. Selepas Zaquan gagal, saya merasakan Negeri Sembilan akan tewas.

“Selepas itu Asyraf pula gagal tetapi nasib baik Helmi Eliza turut gagal menyempurnakan sepakan untuk membolehkan kami meraih kemenangan,” katanya sejurus tamat saingan final itu.

Meskipun menganggap Negeri Sembilan tidak memiliki kelebihan dari segi pengalaman berbanding Kedah yang sudah empat kali menjuarai trofi berprestij itu, Wan Jamak menyifatkan keserasian pasukannya kini terserlah selepas enam tahun dibentuk.

“Pasukan ini sudah enam tahun bersama, Kedah pula sudah dua tahun bersama-sama Mohd Azraai Khor Abdullah (bekas pengendali). Setiap pasukan memerlukan kerjasama untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Kedah, Ahmad Yusoff menyifatkan peluang yang terhidang buat Kedah untuk merangkul Piala FA keempatnya, disia-siakan selepas penjaga gol, Helmi Eliza gagal dalam sepakannya selepas penalti M Asyraf Al Japri turut melambung tinggi di atas palang.

Ahmad mengakui Helmi Eliza memang berada dalam senarai pemain yang sepatutnya mengambil sepakan penalti dan bekas penjaga gol kebangsaan tidak dibuai keghairahan untuk menjadi wira.

“Memang Helmi Eliza berada dalam urutan untuk mengambil penalti selepas itu. Kalau sudah memasuki penentuan penalti, ia lebih bergantung kepada nasib. Saya tidak menyalahkannya.

“Kalau melihat pada separuh masa pertama, kami menguasai perlawanan. Saya tidak boleh kata apa-apa, ini bukan rezeki kami,” kata bekas pengendali Pahang yang mahu anak buahnya segera melupakan kekalahan ini dan menumpukan kepada kempen Liga Super selepas ini.

Berita Harian




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News