Saturday, 21/07/2018


N.Sembilan juara penentuan penalti keenam

Published on April 11, 2010 by   ·   No Comments

SANI Anuar Kamsani muncul wira apabila menyelamatkan penalti Mat Sabre Abu untuk memberikan gelaran Piala FA kedua buat Negeri Sembilan selepas edisi 2003 menerusi kejayaan 5-4 dalam penentuan sepakan penalti, mengecewakan Kedah pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Ia adalah kali keenam pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti dan mengulangi final tahun lalu yang menyaksikan Selangor bergelar juara 4-1 selepas kedudukan terikat 1-1 selepas masa tambahan.

Selepas terikat 1-1 dalam permainan 90 minit, masa tambahan 30 minit gagal memisahkan kedua-dua pasukan selepas jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-27 disamakan M Shaffik Rahman pada minit ke-38.

Sebaik sepak mula oleh pengadil R Krishnan, Negeri Sembilan bermula garang dengan V Thirumurugan dikerah menyelamatkan pasukannya di garisan gol, namun Kedah mula menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu yang dikawal Sani Anuar.

Tanpa penyerang, Azlan Ismail yang menjalani penggantungan, Kedah meletakkan tonggak tengah, Baddrol Bakhtiar di tampuk serangan bergandingan dengan rakan dalam skuad kebangsaan, Faizal Abu Bakar.

Langkah itu jelas membuahkan hasil apabila gerakan anak buah Ahmad Yusoff terarah kepada Baddrol dan kegagalan Negeri Sembilan merantainya membawa padah pada minit ke-27 membolehkan Baddrol menyudahkan gerakan satu dua dengan Syafiq Jamal dengan lambungan tenang menerjah jaring ketika Sani Anuar sudah keluar daripada posisinya.

Begitupun, pendahuluan itu tidak bertahan lama apabila barisan Wan Jamak Wan Hassan hanya memerlukan enam minit untuk menyamakan kedudukan apabila penyerang muda, M Shaffik Rahman bertindak solo melepasi kawalan pertahanan dan menolak pantas melepasi penjaga gol, Mohd Helmi Eliza Elias yang gagal menepis kemas.

Kedah terus mengancam pada babak kedua dengan pemain veteran, Shukor Adan menyelamatkan percubaan deras Faizal yang menuju tepat ke gawang dengan menanduk keluar ketika perlawanan memasuki detik sejam.

Selang tiga minit, S Kunanlan pula gagal memanfaatkan hantaran tepat Zaquan Adha Abd Radzak apabila teragak-agak merembat sebelum diterkam Helmi Eliza.

Shukor membuktikan dirinya turut mampu menyumbang di bahagian serangan apabila mendada lambungan pemain gantian M Asyraf Al Jafri tetapi rembatannya tepat ke dakapan Helmi Eliza pada minit ke-74 untuk memaksa permainan dilanjutkan 30 minit lagi.




coded by nessus

Tags: , , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News