Wednesday, 28/06/2017


Terengganu hadapi Johor FC tanpa Manaf, Firdaus

Published on April 17, 2010 by   ·   No Comments

TERENGGANU mahu melupakan kekecewaan tersingkir pada separuh akhir Piala FA, dengan mengalih tumpuan untuk menjuarai Liga Super.

Pertembungan dengan Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang hari ini, disifatkan sebagai ‘langkah pertama’ dalam usaha tersebut.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti berkata, pemainnya akan turun beraksi di padang lawan dengan semangat baru, setelah semakin melupakan kegagalan dalam Piala FA.

”Kami perlu memburu tiga mata dalam pertemuan dengan Johor FC bagi meletakkan Terengganu dalam landasan yang betul,” ujarnya.

Bagaimanapun, jurulatih skuad Penyu itu melahirkan kebimbangan, kerana dua pemain utama, Abdul Manaf Mamat dan Firdaus Faudzi, digantung.

”Ini merupakan ujian besar buat Terengganu, apabila bakal turun tanpa khidmat Manaf dan Firdaus pada perlawanan yang saya anggap cukup penting ini.

“Johor FC bukan pasukan yang mudah dijinakkan, apatah lagi mereka kini hanya satu mata di belakang kami dalam kedudukan liga,” ujar Irfan.

Bagaimanapun, Irfan enggan menjadikan ketiadaan dua pemain utama itu sebagai alasan untuk mereka pulang dengan tangan kosong.

Bagi memperkukuhkan barisan pemain, Irfan bersedia membariskan beberapa pemain muda, selain meletakkan harapan kepada pemain berpengalaman, Ashaari Samsudin dan Marzuki Yusof.

“Pasukan ini memiliki ramai pemain berbakat dan saya tidak perlu bimbang untuk menentukan kesebelasan utama.

“Apa yang penting adalah kami berjaya membawa pulang tiga mata penting bagi membuka peluang kepada kami bergelar juara liga,” jelas Irfan.




coded by nessus

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News