Saturday, 08/08/2020


Selangor enggan gelaran terlucut

Published on July 20, 2010 by   ·   No Comments

GELARAN juara Liga Super semakin hampir menjadi milik Selangor yang mendahului lima mata selesa berbanding pesaing terdekat, Kelantan, dengan saingan berbaki tiga perlawanan dan hanya dua kemenangan dicari.

Namun jurulatih Selangor K Devan tentunya tidak mahu mengambil mudah baki saingan Liga Super yang perlu dihadapi pasukan kendaliannya, apatah lagi dua lawan yang menanti selepas ini adalah pesaing Pantai Timur, T-Team dan Terengganu yang dianggap cukup kental manakala Kedah menanti di akhir saingan.

Selangor sebelum ini ditewaskan Terengganu 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, dan Devan perlu mengharapkan lebih daripada sokongan padu di laman sendiri untuk membalas dendam pada pertemuan 31 Julai nanti.

Tiga hari sebelum itu, Selangor perlu bertandang ke Terengganu untuk bertemu T-Team dan Devan perlu mencatur strategi terbaik bagi memastikan anak buahnya tidak keletihan sebelum melayan kunjungan pasukan “abangnya” pula di Shah Alam.

Bagi Kelantan, sembilan mata penuh perlu dikutip daripada baki tiga perlawanan dan ia bukan sesuatu yang sukar untuk dilakukan berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini serta prestasi semasa naib juara Piala Malaysia tahun lalu itu.

Tiga pasukan kelab, KL Plus, Johor FC dan T-Team menjadi halangan Kelantan, tetapi rekod hanya tewas sekali sepanjang saingan musim ini, 1-0 di tangan Kedah, tampak memberi kelebihan untuk skuad bimbingan B Sathianathan memburu sembilan mata.

Apapun itu hanya congakan di atas kertas. Segala persoalan hanya akan terjawab apabila saingan Liga Super bersambung 28 Julai ini dan berakhir pada 3 Ogos.

Tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari menjadi ujian paling getir buat Selangor dan Kelantan untuk membuktikan siapa layak bergelar juara Liga Super musim ini.




coded by nessus

Tags: ,

Readers Comments (0)




Latest News