Tuesday, 27/06/2017


Selangor dapat sokongan 5,000 penyokong

Published on January 8, 2010 by   ·   No Comments

SELANGOR bakal mendapat tonik terbaik menjelang Perlawanan Sumbangsih menentang Negeri Sembilan, di tempat lawan Sabtu ini, apabila Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Menurut Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin, presiden yang juga Menteri Besar Selangor telah memaklumkan kepadanya bahawa beliau akan hadir menyaksikan perlawanan tersebut sebagai memberi sokongan moral kepada pemain.

“Selain presiden, seramai tiga hingga lima ribu penyokong juga dijangka akan berkunjung ke Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi sebagai usaha untuk menaikkan semangat pemain, sekali gus mengekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu,” katanya.

Jelasnya, penyokong yang berminat untuk menyertai rombongan tersebut boleh menghubungi kelab penyokong Selangor secepat mungkin.

“Kami mahukan piala ini kekal di Selangor musim 2010 dan pihak pengurusan telah mengadakan pertemuan dengan pemain semalam bagi menyatakan hasrat tersebut.

“Saya yakin pasukan yang akan beraksi Sabtu ini mampu mengekalkan kejuaraan walaupun beberapa pemain utama masih cedera,” katanya,

Bagaimanapun, Hamidin berkata, Amri Yahyah akan diturunkan dalam perlawanan tersebut, walaupun ketua pasukan Selangor itu masih belum cergas seratus peratus akibat kecederaan lutut kanan.

“Pemain lain yang cedera ialah P Gunalan dan dia akan diganti oleh pemain kebangsaan yang memenangi pingat emas di Sukan SEA Laos, Asraruddin Putra Omar,” katanya.

Mengenai sasaran Selangor musim ini, Hamidin berkata pasukannya berhasrat untuk mengekalkan tiga kejuaraan yang dimenangi musim lalu termasuk juara Liga Super dan Piala FA selain serta Piala Sumbangsih.

“Kami menggangap kejuaraan Piala Sumbangsih ini mampu dijadikan sebagai kekuatan moral kepada pemain untuk mengharungi saingan musim 2010, dalam masa yang sama cuba untuk meraih kejuaraan Piala Malaysia dengan meletakkan sasaran awal mara ke peringkat suku akhir terlebih dahulu,” katanya.




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News