Monday, 18/12/2017


Prebiu Terengganu-Selangor: Penyu mahu tumbangkan Gergasi Merah

Published on January 23, 2010 by   ·   No Comments

TERENGGANU menanti kunjungan Selangor dengan tangan terbuka dan tidak sabar-sabar mahu menjadi pasukan pertama membenam Gergasi Merah Kuning itu kerana menganggap pasukan pelawat mungkin alpa lantaran terlalu yakin dengan kemenangan dicipta sejak kebelakangan ini.

Berbekalkan percaturan dan kekuatan di semua posisi, anak buah Irfan Bakti itu kini dilihat mempunyai persefahaman mental dan fizikal maksimum untuk menjadikan pertembungan dua pasukan teratas Liga Super di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, malam ini, sebagai perlawanan yang menarik.

Sambil memberi amaran awal, pengurus pasukan, Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusoff menyifatkan pasukannya bukan seperti dulu, sebaliknya mempunyai kelebihan dengan gandingan pemain sedia ada selain sorakan padu penyokong yang pastinya merealisasikan impian skuad Penyu itu.

Menurutnya, bukan mahu mendabik dada, namun jika diukur dengan pasukan lawan yang menang semua empat perlawanan mereka, Terengganu juga tidak kurang hebatnya kerana belum tewas selepas menundukkan Perak dan Pulau Pinang selain seri dengan Kelantan dan T-Team.

“Kalau tahun lalu, kami bermula hambar, kini kami bermula dengan baik, mengutip mata demi mata daripada perlawanan awal liga dan ia serba sedikit memberi keyakinan kepada pemain apabila turun bertemu Selangor esok (hari ini).

“Tidak ada apa yang perlu digeruni kerana rekod berpihak kepada kami yang berjaya menewaskan Selangor di gelanggang sendiri sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Katanya, pemain lawan mungkin berada dalam keadaan terlalu yakin selepas menang kesemua perlawanan setakat ini dan keadaan itu boleh menyebabkan mereka leka seketika…lantas menyediakan peluang untuk direbut pemain tuan rumah.

“Kehadiran beberapa tonggak baru membuatkan pasukan kami nampaknya bertambah kuat hampir di semua bahagian dan ini dapat dilihat daripada corak persembahan menarik yang diatur Irfan.

“Ronnie (Harun) dan Helmi (Rameli) ternyata dapat mengukuhkan benteng pertahan yang diterajui Marzuki (Yusoff) selaku ketua pasukan. Begitu juga Tengku Hasbullah (Raja Hassan) yang berganding baik dengan Zairo (Anuar Zailani) di bahagian tengah,” katanya.

Shaikh Ahmad turut memuji penjaga gol, Sharbinee Allawee yang mempamerkan permainan terbaiknya musim ini selepas membantu pasukan negara membawa pulang pingat emas Sukan Sea di Laos, bulan lalu.

“Kami juga gembira kerana pemain barisan serangan seperti Ashaari (Shamsuddin), Abdul Manaf (Mamat) dan Firdaus (Faudzi) juga sudah menjumpai sentuhan jaringan gol masing-masing.

“Joseph (Kallang Tie) juga sudah menjaringkan dua gol, namun dia terpaksa menjalani ujian kecergasan sebelum perlawanan akibat kecederaan buku lali ketika turun menentang T-Team, Selasa lalu,” katanya.

Selain Joseph, tiada pemain lain yang cedera dan Irfan dijangka dapat menurunkan kesebelasan terbaik untuk menundukkan Selangor buat kali pertama musim ini.

Bagaimanapun, Irfan tetap risau dengan keadaan hampir keseluruhan pemainnya yang dikatakan keletihan dengan jadual permainan liga yang agak padat.

“Saya tahu pasukan lain juga terpaksa menghadapi masalah sama, namun bagi kami yang terpaksa menggunakan pemain sama walaupun bermain dua kali seminggu, beban yang dipikul lebih berat,” katanya.




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News