Saturday, 25/11/2017


Penyu tak mahu menangis dua kali

Published on April 20, 2010 by   ·   No Comments

TERENGGANU kini lebih berwaspada untuk berdepan pasukan lawan selepas diaibkan dengan kekalahan 0-2 oleh Johor FC dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, keupayaan skuad kendalian Irfan Bakti itu sekali lagi bakal diuji pasukan dari selatan tanah air apabila mereka dijadualkan bertemu Johor pada saingan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Atas kertas, Terengganu yang kini menduduki tangga ketiga liga diramal tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata penuh ke atas Johor, iaitu pasukan yang berada dalam kelompok tiga tercorot.

Malah, kehadiran penyerang lincah, Abdul Manaf Mamat daripada penggantungan satu perlawanan bakal memberi kekuatan baru kepada jentera serangan skuad Penyu itu.

“Kekalahan kepada Johor FC perlu kami lupakan kerana persaingan masih lagi panjang dan masih banyak perlawanan yang akan kami hadapi.

“Saya harap pemain dapat memberi fokus penuh kepada perlawanan ini (menentang Johor) bagi membuka peluang kepada pasukan untuk bersaing di tangga teratas liga,” jelas Irfan.

Pada masa sama, Irfan juga berharap kehadiran Manaf sekurang-kurangnya mampu memberi impak kepada jentera serangan Terengganu yang dianggapnya sebagai gagal ketika menentang Johor FC, Sabtu lalu.

“Saya sebenarnya tidak suka kalau orang kata Terengganu hanya bergantung kepada satu-satu pemain sahaja.

“Bagi saya, kami adalah satu pasukan dan semua pemain yang ada dalam pasukan ini mempunyai peranan masing-masing.

“Cumanya, kehadiran Manaf mungkin akan memberi sinar baru kepada kami terutama untuk mendapatkan gol,” ujarnya.

Selepas melalui 10 perlawanan, Terengganu kini menghuni tangga ketiga liga dengan 20 mata hasil daripada enam kemenangan dan dua keputusan seri.

Johor pula kekal di tangga ke-12 dengan hanya mengumpul tujuh mata daripada dua kemenangan termasuk ketika menewaskan Pahang, Sabtu lalu.

“Sekali pun Johor berada di tangga ke-12, pasukan itu telah menunjukkan kebangkitan yang mendadak sejak kebelakangan ini.

“Mereka berjaya menewaskan Pahang di Kuantan pada Sabtu lalu dan sudah pasti semangat pemain-pemain pasukan itu cukup tinggi ketika ini,” kata Irfan lagi.




coded by nessus

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News