Thursday, 21/03/2019


Prebiu Johor-Perak: Jengking tekad akhiri kemarau gol

Published on January 16, 2010 by   ·   No Comments

SELEPAS mengharungi 180 minit perlawanan, Johor muncul pasukan pertama yang belum lagi merobek gawang gol lawan, sekali gus mencetus tanda tanya kemampuan sebenar barisan skuad bimbingan Nasir Yusof.

Oleh itu, Johor yang melayani kunjungan Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam ini harus mengambil kesempatan untuk melerai kebuntuan itu dan memburu tiga mata pertama tatkala beraksi di laman sendiri.

Pengurus pasukan, Datuk Abdul Aziz Sapian mengakui betapa kelemahan barisan serangan menjadi faktor utama Johor gagal mencipta gol, malah dua kekalahan kepada Kedah dan Kelantan, dengan jaringan 3-0 harus ada titik noktah.

Beliau yang juga Naib Presiden I Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) turut mahu kesebelasan utama Johor mengelak daripada mengalami kekalahan ketiga berturut-turut demi maruah pasukan itu walaupun hanya kurang sebulan skuad itu dibentuk.

“Memang ada peningkatan yang dipamerkan oleh pemain ketika beraksi dengan Kelantan, baru-baru ini namun ia tidak mencukupi terutama barisan serangan yang masih buntu mencipta jaringan.

“Saya ada berbincang dengan jurulatih dan dia sendiri memberi jaminan betapa perubahan drastik akan dilakukan bagi menguatkan semua posisi apabila berdepan Perak yang turut mengintai kemenangan pertama,” katanya.

Taruhan terbaik pasukan yang pernah digeruni ketika era 1980an dan 1990an itu adalah kepada Azmi Sarmin untuk merobek gawang Perak manakala kelibat Mohd Faizol Hussin yang memiliki larian pantas di sebelah kiri diharap mampu melakukan hantaran lintang berbahaya.




coded by nessus

Tags: , , , , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News