Saturday, 08/08/2020


Pesta gol warnai aksi minggu ke-12

Published on April 25, 2010 by   ·   No Comments

SEMBILAN belas (19) gol dicatat dalam enam aksi Liga Super malam tadi dengan Terengganu menunjuk belang sekali lagi apabila membenam Perlis empat gol tanpa balas.

Selangor turut tidak terkecuali menyertai dua lagi pasukan teratas Liga Super, Kelantan dan Johor FC yang kesemuanya meledak tiga gol ke atas kubu lawan masing-masing.

Safee Sali menjaringkan dua gol dan Bunyamin Umar menyumbang satu gol untuk membantu Selangor menewaskan T-Team 3-0 sekali gus kekal selaku peneraju Liga Super dengan mengumpul 29 mata daripada 12 perlawanan.

Terengganu terus mengejar Selangor dengan membelasah Perlis 4-0, Abdul Manaf Mamat menemui sasaran dua kali manakala Joseph Kallang Tie dan penjaring terbanyak Liga Super, Ashaari Shamsuddin masing-masing satu gol.

Dengan tambahan satu gol malam ini menjadikan Ashaari sebagai peledak paling berbisa setakat dengan koleksi 11 jaringan gol.

Kelantan pula yang kini menduduki tangga ketiga selepas menewaskan KL Plus 3-0, memperoleh jaringan daripada penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang menyumbat dua gol berkualiti sebelum Hairuddin Omar melengkapkan kemenangan selesa pasukan Red Warriors.

Pahang pula menewaskan Kedah 2-1, manakala Johor FC mengalahkan Johor 3-0 dalam pertembungan dua jiran. Sementara Kuala Lumpur menang tipis 2-1 ke atas Perak di gelanggang sendiri.

Sehari sebelum itu, Negeri Sembilan turut berpesta gol apabila menundukkan Pulau Pinang 4-0 di Paroi.

Tags: , ,

Readers Comments (0)




Latest News