Saturday, 15/12/2018


“Permainan terbaik Terengganu” – Irfan Bakti

Published on January 25, 2010 by   ·   No Comments

“INI permainan terbaik yang pernah dipamerkan Terengganu.”

Demikian pengakuan jurulatih Terengganu, Irfan Bakti selepas menyaksikan anak-anak buahnya membelasah pendahulu liga, Selangor 4-0 pada aksi Liga Super kelmarin.

Sambil menganggap kemenangan itu sebagai kemenangan bermaruah, Irfan tetap melahirkan rasa bangganya dengan semangat juang yang dipamerkan pemain-pemain Terengganu.

“Saya sungguh bangga melihat kesungguhan pemain sejak dari awal permainan. Mereka tampil dengan semangat tinggi dan inilah yang saya harapkan daripada mereka sejak awal musim.

“Selain itu, disiplin yang dipamerkan pemain menjadi faktor mengapa kami boleh mencatat kemenangan besar ini,” jelas Irfan.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, Terengganu berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Selangor dalam empat perlawanan berturut-turut.

Dua jaringan daripada Ashaari Shamsuddin dan masing-masing satu daripada Abd Manaf Mamat dan Joseph Kalang turut meletakkan Terengganu dalam kedudukan selesa dalam carta liga.

Selepas berakhirnya lima perlawanan, Terengganu mengumpul 11 mata untuk berada di tempat kedua, iaitu satu mata di belakang Selangor.

“Apa yang lihat, pemain tidak lagi takut-takut untuk memegang bola dan mereka berani mengatur permainan dengan baik.

“Rentak permainan begini sudah lama tidak saya saksikan dalam pasukan ini dan hari ini (kelmarin), pemain saya telah membuktikan mereka adalah yang terbaik,” tambahnya.

Bagaimanapun, Irfan mengakui perjalanan pasukannya masih jauh dan beliau tidak mahu pemainnya terlalu diulit kegembiraan dengan kejayaan menewaskan Selangor kelmarin.

Ujarnya, apa yang penting pemain dapat mengekalkan momentum sebegini dan memastikan pasukan tidak keciciran mata dalam mana-mana perlawanan.

“Memang puas apabila berjaya menewaskan Selangor yang dibarisi ramai pemain bintang tetapi kami juga tidak boleh terlalu berpuas hati kerana saingan liga masih panjang.

“Saya harap pemain sedar akan kedudukan mereka dan lebih fokus kepada perlawanan selepas ini,” jelas Irfan.

— Kosmo




coded by nessus

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News