Wednesday, 28/06/2017


Perebutan Piala Sumbangsih buka tirai saingan Liga M 2010

Published on January 9, 2010 by   ·   No Comments

TIRAI Liga Super 2010 bakal bermula hari ini dengan pertembungan pembukaan antara juara Liga Super dan juara Piala Malaysia musim lalu, Selangor dan Negeri Sembilan bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Piala Sumbangsih).

Selepas berehat hampir dua bulan aksi liga tempatan kembali menghangatkan sukan bola sepak di negara ini dan seperti biasa Piala Sumbangsih akan menjadi aksi pertama Liga Super diikuti beberapa perlawanan lain.

Stadium Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi akan menjadi medan buat kedua-dua pasukan mempamerkan aksi masing-masing tatkala negara masih lagi bergembira dengan kemenangan pingat emas Sukan SEA Laos bulan lepas.

Selangor pastinya berkeinginan untuk mengulangi pencapaian musim lalu apabila muncul juara Piala Sumbangsih di Alor Setar selepas menumbangkan juara tiga piala 2008, Kedah dengan jaringan 4-1.

Skuad bimbingan K. Devan itu mengejutkan pasukan pilihan tahun lepas tatkala Devan baru menggalas tugas sebagai jurulatih Selangor.

Kali ini mereka sudah tentu menjadi pasukan pilihan kerana aksi cemerlang dalam perlawanan persahabatan pra-musim dan menimba pengalaman berguna menentang pasukan kebangsaan Zimbabwe.

Lebih menarik dengan kehadiran empat pemain kebangsaan dari skuad emas, Amirulhadi Zainal, Safiq Rahim, Nasriq Bahrom dan Asraruddin Putra Omar Selangor pasti diletakkan sebagai pasukan pilihan.

Mereka juga telah membuktikan tahun lalu bahawa beraksi di gelanggang lawan bukan alasan untuk mencatat kejayaan.

Selangor juga diperkuatkan dengan beberapa pemain berpengalaman musim ini antaranya bekas pemain MyTeam, Bunyamin Omar yang pernah menimba pengalaman di Chelsea.

Selain itu dua bekas pemain kebangsaan Liew Kit Kong dan Farderin Kadir akan menguatkan lagi barisan serangan Selangor musim ini.

Dua lagi pemain yang baru dipancing ialah bekas penjaga gol Proton FC dan Pahang, Mohd. Iqbal Suhaimi bersama-sama Azrine Effendy Sa’duddin dari pasukan Johor.

Menang dalam perlawanan persahabatan terakhir 4-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabtu lalu menambahkan lagi keyakinan pasukan Merah-Kuning itu.

Menurut jurulatihnya, K Devan, persiapan yang sangat positif pada pra-musim ini membuatkan dia gembira dengan pemainnya walaupun tidak mampu menurunkan kesebelasan utama yang mempunyai komitmen bersama pasukan kebangsaan.

“Saya lihat prestasi anak buah saya setakat ini sangat memberangsangkan dan mereka mempunyai persefahaman yang baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dalam perlawanan persahabatan sebelum ini mereka mencatat tujuh kemenangan termasuk menjinakkan KGS FC 2-0, Kedah 4-2, Pos Malaysia 2-0, Sarawak 2-0, T-Team 4-3 dan Pahang 3-1, manakala pertemuan dengan Zimbabwe mereka tewas 3-0.

Kata Devan, pasukannya memiliki tahap kecergasan yang baik dan rata-rata pemain telah memperoleh keyakinan yang tinggi.

“Bukan saya mahu mengatakan peluang kami untuk mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih sangat baik sekali tetapi persiapan yang dijalankan menunjukkan satu petanda positif menjelang musim 2010 ini.

“Saya harap pemain dapat mengekalkan tempo sebegini dan sasaran awal kami ialah muncul juara Piala Sumbangsih Sabtu ini (hari ini).

“Kehadiran pemain yang berlatih bersama skuad kebangsaan nanti akan menambahkan lagi kekuatan kami,” kata bekas jurulatih Negeri Sembilan dan KM Naza itu.

Negeri Sembilan bawa semangat Piala Malaysia

Bagi Negeri Sembilan semangat menjuarai Piala Malaysia musim lalu masih lagi menyala dan mereka bertekad untuk menyambung kegembiraan tersebut dengan muncul juara Piala Sumbangsih pula.

Rata-rata pemain yang beraksi bersama skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan ini masih dikekalkan kecuali pemain yang dipinjamkan untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia, Hairuddin Omar yang mewakili Kelantan musim ini.

Kehadiran ketua pasukan skuad emas Laos, Aidil Zafuan Abd. Radzak bakal menjadi tonik terbaik buat Negeri Sembilan yang dijangka akan bergandingan bersama Shukor Adan di bahagian pertahanan tengah.

Jika Selangor pasti mengharapkan sentuhan penuh tipu muslihat dari Amri Yahyah, Negeri Sembilan pula akan menggunakan sepenuhnya kelajuan dan kelincahan seorang lagi pemain kebangsaan, S. Kunanlan di bahagian sayap.

Walaupun kurang diberi perhatian dan jarang diuar-uarkan persiapan pra-musim mereka, skuad rusa ini sudah tentu membuat persiapan yang sangat rapi dengan beberapa senjata sulit.

Wan Jamak berharap pasukannya mampu beraksi lebih baik dengan bantuan penyokong sendiri di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hari ini.

“Sepatutnya peluang lebih terbuka buat kami dan saya berharap pemain dapat menggunakan kelebihan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelasnya, walaupun peluang untuk menurunkani Zaquan Adha, Aidil dan Kunanlan masih lagi 50-50 tetapi ia tidak menjadi halangan buat mereka mempamerkan aksi mantap.

“Saya sedang melihat perkembangan pemain lain dengan lebih teliti dan buat masa sekarang saya amat berpuas hati dengan senarai pemain yang ada.

“Pemain yang ada ini akan diberikan peluang bagi mengisi kekosongan ketiga-tiga pemain tersebut,” katanya yang membawa skuad ‘hobin jang hobin’ muncul juara Piala Malaysia musim lalu.

Kata Wan Jamak, skuadnya tidak berdepan dengan masalah kecederaan dan semua pemain berada pada tahap kecergasan yang memuaskan.

“Saya menumpukan kepada kekuatan mental pemain dan melihat tahap kesesuaian mereka di setiap posisi.

“Saya mahu semua pemain dapat menyesuaikan diri dan mengelak dari melakukan sebarang kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Sejarah Piala Sumbangsih

Mula diperkenalkan pada 1985 dengan juara Piala Malaysia akan menentang juara Piala FA dan Selangor merupakan juara pertama.

Pada tahun tersebut mereka menumpaskan Pahang dengan jaringan 2-1 dan Selangor juga antara pasukan paling banyak meraih kejuaraan pembukaan musim itu.

Mereka telah muncul juara sebanyak tujuh kali dan naib juara empat kali, Kuala Lumpur dan Perak pula pernah menjuarainya sebanyak tiga kali.

Negeri Sembilan pula bakal beraksi buat kali kedua dalam saingan Piala Sumbangsih musim ini dan penampilan mereka yang pertama ialah pada 2004. Ketika itu mereka tewas kepada Selangor MPPJ 4-2.




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News