Sunday, 08/12/2019


Selangor tumbang di Ipoh

Published on July 6, 2010 by   ·   1 Comment

REKOD tanpa kalah Selangor dalam 15 perlawanan akhirnya lebur apabila skuad bimbingan K Devan tewas tipis 0-1 kepada Perak dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Ipoh, sebentar tadi. [LIHAT VIDEO]

Mohd Nazri Kamal membuat lambungan menarik dari arah penjuru kanan yang terus menerjah ke gawang Selangor pada minit ke-53 untuk gol tunggal perlawanan sekaligus memberikan kemenangan paling berharga buat Perak.

Bagi Selangor, Kekalahan itu menyaksikan pasukan Merah Kuning kini mendahului carta liga kepada hanya lima mata selepas Kelantan mencatat kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan di Kota Bharu.

Selepas berehat panjang selama lima minggu sempena SUKMA 2010 dan Piala Dunia 2010, aksi dipamerkan skuad Merah Kuning nyata serba tidak menjadi.

Gandingan penyerang Safee Sali dan Amri Yahyah gagal menghasilkan percubaan berbahaya ke arah pintu gol tuan rumah sepanjang separuh masa pertama.

Sebaliknya, kelekaan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad pada awal babak kedua telah mengundang padah apabila menghadiahkan Perak gol kemenangan pada minit ke-53.

Lambungan Nazri Kamal dari sebelah kanan disangka oleh Hamsani cuma hantaran lintang sebaliknya bola terus melencong masuk ke gawang Selangor tanpa mampu digapai olehnya.

Ketinggalan satu gol, Selangor dilihat begitu sukar untuk memecah kekebalan benteng pertahanan Perak dan kemasukan Rudie Ramli menggantikan Safee pada minit ke-75 turut gagal mengubah keadaan.

Sehingga wisel penamat, Selangor tetap gagal memburu gol penyamaan sekali gus memberikan mereka kekalahan kedua sepanjang aksi Liga Super musim ini.

Kali terakhir Selangor tewas ialah pada 23 Januari lalu di mana ketika itu pasukan Red Giants dibelasah 4-0 oleh Terengganu pada aksi yang berlangsung di Kuala Terengganu.

Ketika saingan Liga Super musim ini berbaki hanya lima perlawanan, Selangor kekal menguasai carta liga dengan 53 mata, namun tekanan pasti dirasai barisan bimbingan K Devan kerana mereka akan berdepan Kelantan di Shah Alam Sabtu ini.

Pertemuan itu dijangka sengit namun berbekalkan rekod di gelanggang berkenaan, Kelantan mungkin sukar untuk menggugat Selangor.

Walau apa pun segala kemungkinan boleh berlaku sebagaimana menimpa Selangor malam tadi dan jika skuad Red Warriors mampu mencipta kejutan, perebutan kejuaraan Liga Super pasti sengit antara kedua-dua pasukan sehingga penghujung musim.

Sementara itu perlawanan lain menyaksikan Terengganu turut mencatat kemenangan dengan membelasah Johor FC 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Perlis pula tewas 0-1 kepada KL Plus di Stadium Utama Negeri, Kangar manakala Kedah diikat tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Johor pula menewaskan Pahang 2-0 di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos manakala Pulau Pinang pula tumpas 1-6 kepada pasukan T-Team di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Keputusan Penuh Liga Super 6 Julai 2010

  • Perak 1-0 Selangor
  • Kelantan 1-0 Negeri Sembilan
  • Kedah 0-0 Kuala Lumpur
  • Terengganu 4-0 Johor FC
  • Pulau Pinang 1-6 T-Team
  • Johor 2-0 Pahang
  • Perlis 0-1 KL Plus



coded by nessus

Tags: , , ,

Readers Comments (1)

  1. […] – 0 2 – 0 0 – 1 0 – 0 1 – 0 1 – 0 1 – […]




Latest News