Wednesday, 14/11/2018


Negeri Sembilan berdepan tugas getir

Published on July 6, 2010 by   ·   No Comments

JURULATIH Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan tetap memasang impian untuk mengutip tiga mata penuh biarpun menyedari tugas getir menanti anak buahnya pada perlawanan menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

“Semua pasukan Liga Super yang bertandang ke Kota Bharu menyedari bahawa ‘gelanggang keramat’ itu tidak menjanjikan kemenangan mudah kepada pasukan pelawat,” katanya.

“Walau bagaimana pun, saya berharap rekod cemerlang Negeri Sembilan ketika bermain di Kota Bharu sebelum ini dapat dikekalkan dan kita mahu mencipta kemenangan pada malam esok (malam ini).

“Kelantan adalah pasukan yang kuat berdasarkan prestasi terkini menduduki tangga kedua liga. Saya percaya kedua-dua pasukan akan mempamerkan permainan yang menarik pada perlawanan malam esok (malam ini),” katanya.

Wan Jamak berkata, beliau akan menyenaraikan barisan terkuat bagi menghadapi tentang sengit barisan pemain The Red Warriors serta sorakan penyokong setia Kelantan.

“Semua pemain bebas daripada kecederaan dan penggantungan perlawanan. Justeru, saya bakal menyenaraikan kesebelasan terbaik pada perlawanan berkenaan.

“Ketua pasukan Rezal Zambery Yahya akan mengetuai pasukan ini sambil dibantu beberapa pemain berpengalaman seperti Idris Karim, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak, Mohd Zaquan Adha Abd Razak dan Mohd Shukor Adan.

“Tempoh rehat selama sebulan memberi peluang kepada saya untuk memperbaiki kelemahan skuad Jang dan saya berpuas hati dengan prestasi pemain saya sewaktu menjalani latihan dalam tempoh tersebut,” katanya.

Menyentuh mengenai prestasi terumbang ambing pasukannya, Wan Jamak tidak menafikan perkara itu berlaku ke atas pasukannya sejurus menjulang Piala FA April lalu.

“Prestasi pasukan Negeri Sembilan jatuh merudum, malahan peluang untuk mengejar kejuaraan Liga Super tampak begitu sukar dan sudah tertutup rapat.

“Apa yang penting, kami harus memperbaiki kedudukan kami dalam carta liga bagi membuktikan bahawa pasukan Negeri Sembilan masih lagi mampu memberi cabaran,” katanya.




coded by nessus

Tags: , , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News