Saturday, 08/08/2020


Kurang fokus punca Johor FC cicir mata

Published on January 15, 2010 by   ·   No Comments

PEMAIN-pemain Johor FC perlu mempertingkatkan disiplin dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah sekiranya mahu memberi cabaran lebih serius pada saingan bola sepak Liga Super musim 2010.

Jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid menegaskan, kurang tumpuan pada minit terakhir permainan menghukum pasukannya daripada mengutip tiga mata penuh apabila sekadar seri 1-1 dengan Negeri Sembilan, kelmarin.

Beliau memberi amaran kepada pemainnya supaya tidak mengulangi ‘kesilapan kecil’, jika ingin memenuhi sasaran untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

“Kita menguasai sepanjang tempoh 83 minit perlawanan, namun hilang fokus pada saat-saat akhir hingga meranapkan impian pasukan untuk memperolehi tiga mata penuh.

“Justeru, sikap pemain perlu didisiplinkan lagi, terutamanya barisan pertahanan, manakala barisan serangan perlu dipertajamkan lagi agar tidak buntu menjaringkan gol pada perlawanan akan datang,” kata Ramlan.

Kelekaan barisan pertahanan pada saat akhir perlawanan menyaksikan Johor FC berputih mata untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut meskipun sudah mendahului 1-0, ketika saingan berbaki tujuh minit.

Bagaimanapun kata Ramlan, keputusan seri 1-1 dianggap masih berbaloi dan adil kerana apa yang penting, pasukannya tidak menerima kekalahan di gelanggang sendiri kepada juara Piala Malaysia musim lalu.

Pada perlawanan kelmarin, ketumpulan jentera serangan Johor FC menjadi penghalang mereka untuk mencipta lebih banyak gol.

Walaupun berjaya membuka jaringan menerusi Wan Rohaimi Wan Ismail yang menanduk bola pada minit ke-75 tetapi kealpaan benteng pertahanan menyebabkan Johor FC gagal mempertahankan kelebihan.

Namun, Negeri Sembilan bijak mengambil kesempatan daripada kelekaan barisan pertahanan tuan rumah dengan menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Norizam Salaman.

Ramlah turut menambah, anak-anak buahnya masih mengamalkan sikap terlalu menghormati lawan.

“Pemain-pemain kami terlalu menghormati Negeri Sembilan yang dianggap pasukan besar kerana statusnya sebagai Piala Malaysia musim lalu, selain memiliki ramai pemain bintang.

“Begitupun kekuatan kedua-dua sebenarnya tidak banyak beza, hanya ketajaman penyudah yang membawa perbezaan,” tegasnya.

Sementara itu Ramlan mengakui pasukannya bakal berdepan satu lagi ujian besar apabila turun menentang Kedah esok.

Bagaimanapun beliau tidak bercadang untuk melakukan rombakan besar dalam strategi pasukan, kecuali mengukuhkan benteng pertahanan. Johor FC mengejutkan Perlis 1-0 dalam perlawanan pembukaan Liga Super di Kangar, Sabtu lalu. — Utusan Malaysia

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News