Thursday, 18/10/2018


Kelantan sasar kemenangan aksi pembuka tirai

Published on January 8, 2010 by   ·   No Comments

SETELAH memanaskan badan pada perlawanan persahabatan di Bangkok baru-baru ini, skuad Kijang yang berwajah baru kini menyasarkan kemenangan pertama dalam aksi pembuka tirai Liga Super 2010, Sabtu ini.

Ia harapan yang cukup tinggi dipertaruhkan oleh B Sathianathan apabila berdepan Terengganu supaya pasukannya dapat bermula dengan rentak yang menyakinkan. Ini kerana sasaran hanyalah satu – untuk muncul sebagai juara.

Kelantan dilihat sebagai pasukan yang cukup mantap musim ini, melalui rombakan di beberapa posisi apabila berjaya meyakinkan beberapa pemain ternama menyertai skuad itu.

Barisan skuad Kijang musim ini diperkukuhkan dengan kehadiran Syed Adney Syed Hussien (My-Team), Norshahrul Idlan Talaha (My-Team), Shakir Shaari (My-Team), S Chanturu (P.Pinang), S Subramaniam (Perak), Akmal Rizal Rakhli (KM Naza), Azizi Che Ros(Perlis) dan Hairuddin Omar (T-Team).

Sathianathan berkata, prestasi kesemua 25 pemainnya berada dalam keadaan memuaskan, walaupun beberapa tunggak utama mengalami kecederaan.

Pemain yang berada dalam senarai kecederaan termasuk Nor Farhan Mohamad, S Chanturu dan Zamri Ramli, namun beliau tidak gusar.

“Semua persiapan untuk menentang Terengganu Sabtu ini berjalan lancar khususnya selepas balik dari perlawanan persahabatan di Bangkok, kita mempunyai cukup masa untuk membuat persiapan,” katanya.

Beliau menyatakan kepada pemberita demikian selepas menghadiri kursus motivasi bersama pemainnya di ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di Kota Bharu.

Turut hadir memberi kaunseling kepada pemain ialah Pengarah Bahagian Organisasi dan Hal Ehwal Atlet Majlis Sukan Negara, Zaitun Othman.

Menurut Sathianathan, musim ini Kelantan meletakkan sasaran cukup tinggi, di mana selain berada di tangga teratas liga, ia juga akan memburu kemenangan bagi menggapai dua lagi piala.

“Untuk mencapai tahap yang tinggi, kita tidak boleh bergantung kepada 11 pemain sahaja, kena kena bergantung harap kepada kesemua 25 pemain yang disenaraikan,” ujarnya.

Katanya, mereka boleh bergilir diturunkan apabila perlu tanpa merencatkan prestasi pasukan dengan keupayaan yang seimbang.

Bagi Sathianathan, anak-anak buahnya sudah dipersiapkan supaya tidak berada dalam keadaan tertekan apabila berada dalam keadaan cukup terdesak untuk memastikan memastikan kemenangan.




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News