Saturday, 18/08/2018


Kelantan perbaiki jentera serangan kurang tajam

Published on January 13, 2010 by   ·   No Comments

MENGAMBIL kira kegagalan Kelantan menjaringkan sebarang gol dalam aksi pertama perlawanan Liga Super ketika bertemu Terengganu Sabtu lalu, ketajaman barisan serangan skuad Kijang itu harus dipertingkatkan lagi untuk memastikan kemenangan dapat dicapai.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim, berkata, Red Warriors telah mempamerkan aksi yang agak memuaskan dalam perlawanan dengan Terengganu tetapi gagal menjaringkan sebarang gol walaupun telah menguasai perlawanan terutamanya dalam separuh masa pertama.

Pada perlawanan pertama Liga Super buat musim ini, pertemuan Kelantan-Terengganu Sabtu lalu berkesudahan dengan seri tanpa jaringan.

“Bagi pihak pengurusan, kami berpuas hati dengan permainan pasukan Kelantan, tetapi keupayaan menjaringkan gol perlu diperbaiki bagi membolehkan kemenangan berpihak pada pasukan Kelantan dalam perlawanan yang akan datang,” katanya kepada :Sinar Harian.

Beliau berkata, pada perlawanan itu, Kelantan menguasai hampir keseluruhan permainan dan mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol, tetapi dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol Terengganu Ahmad Sharbinee yang berjaya menyelamatkan beberapa percubaan bahaya Kelantan.

“Mungkin nasib tidak menyebelahi Kelantan pada malam itu dan penjaga gol Terengganu harus diberi pujian kerana beraksi dengan cemerlang.

“Kita harus memberi tumpuan terhadap perlawanan yang akan datang, bertemu dengan pasukan Johor di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV hari ini. Walaupun mereka tewas 0-3 dengan Kedah Sabtu lalu, Kelantan tidak boleh mengambil mudah kerana pasukan Johor yang dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, Nasir Yusof mampu membuat kejutan sekiranya kita tidak berhati-hati.

“Apa yang perlu ditekankan buat masa ini ialah berusaha untuk memperbaiki ketajaman penyerang bagi memastikan aksi seterusnya berjaya meraih kemenangan.

“Barisan pertahanan juga harus diperkemaskan lagi agar ianya lebih serasi. Saya yakin barisan pemain yang kita ada sekarang mampu mencipta kejayaan untuk musim ini,” katanya.

Menurutnya, para penyokong harus memberi peluang kepada pemain untuk mempamerkan mutu permainan yang baik kerana sebarang kesilapan dalam permainan mereka tidak seharusnya diberi ejekan oleh penyokong sendiri.

Selain pertemuan menentang Johor malam ini, perlawanan seterusnya Kelantan akan bertemu dengan Perlis di Kangar pada Sabtu ini (16 Januari ). Seterusnya Kelantan akan menunggu Kedah (19 Januari) dan Johor FC (23 Januari) di Stadium Sultan Mohd Ke-IV, Kota Bharu.




coded by nessus

Tags: , ,

Readers Comments (0)




Latest News