Thursday, 17/08/2017


Kejayaan Kelantan belasah Johor FC reda tekanan ke atas Sathianathan

Published on January 25, 2010 by   ·   No Comments

KEMAMPUAN Kelantan untuk bangkit daripada kekalahan tempat sendiri kepada Kedah Selasa lepas dengan membelasah Johor FC kelmarin nyata mereda tekanan di pundak B Sathianathan.

Ketua jurulatih Kelantan itu menjadi sasaran kecaman sebahagian penyokong Kelantan yang mempersoalkan kemampuan taktikalnya selepas menyaksikan skuad Kijang hanya mampu menang sekali daripada empat perlawanan terdahulu.

Apatah lagi, jentera serangan Kelantan juga kelihatan agak tumpul apabila hanya mampu menjaringkan tiga gol walau pun dibarisi pemain berpengalaman termasuk bekas pemain kebangsaan.

Selain Sathianathan, peminat The Red Warriors turut merasa lega kejayaan Kelantan menewaskan Johor FC yang menyaksikan Kelantan membolosi gawang pasukan pelawat sebanyak empat kali.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan para pemain, mereka sudah mula menunjukkan keserasian.

“Jika sebelum ini hanya tiga gol sahaja yang mampu kita hasilkan daripada empat perlawanan, tetapi kelmarin kita telah berjaya menjaringkan empat gol, bagi saya ini memberikan petanda positif,” katanya.

Ketika diminta mengulas aksi Hairuddin Omar, Sathianathan menjelaskan, beliau berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan pemain itu.

“Walaupun Hairuddin tidak jaringkan gol setakat ini, namun dia banyak membantu pasukan. Banyak gerakan yang dicipta oleh Hairuddin hampir memberikan gol kepada pasukan,” ujarnya.

Ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin yang muncul penjaring terbanyak Piala Malaysia 2009 mengetuai senarai penjaring gol Kelantan dengan dua jaringan setakat ini.

Pemain lain yang menjaringkan gol buat skuad Kijang ialah Norshahrul Idlan Talaha, Azizi Mat Rose, Nor Farhan Muhammad, Akmal Rizal Rakhli dan Mohd Badhri Radzi.

Kelantan dijadualkan bertemu pasukan tangga ke-11 liga, Perak di Ipoh malam esok.

Sebarang keputusan selain daripada meraih tiga mata penuh bakal memberikan tekanan berterusan ke atas bahu Sathianathan.




coded by nessus

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News