Sunday, 22/07/2018


KAFA yakin mampu tingkat pendapatan hasil jualan tiket

Published on January 12, 2010 by   ·   No Comments

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) dijangka dapat meningkatkan hasil kutipan jualan tiket sebanyak 20 peratus apabila kawalan keselamatan diperketatkan di pintu masuk Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu pada sepanjang Liga Malaysia musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Hashim Tuan Yaakob berkata, langkah tersebut penting memandangkan hasil jualan tiket merupakan pendapatan utama bagi pasukan Kelantan.

Menurutnya, jumlah hasil kutipan tiket pada saingan Liga Malaysia musim lalu dianggarkan melebihi RM2 juta.

Katanya, pembelanjaan mengurus pasukan The Red Warriors pada musim ini pula kira-kira RM4.5 juta.

“Peningkatan pendapatan KAFA pada musim baru ini akan dapat meringankan beban KAFA memandangkan jumlah tajaan yang diterima terhad,” katanya pada sidang media di Kota Bharu semalam.

Tuan Hashim berkata, antara langkah kawalan yang dilakukan ialah menempatkan anggota Rela, polis bantuan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan pegawai KAFA di semua pintu masuk stadium.

Jelasnya, setiap penonton hanya akan dibenar memasuki stadium sekiranya memiliki tiket perlawanan yang sah dan tidak membawa objek yang dilarang.

“Penggunaan tiket elektronik touch n go pada musim ini juga dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan KAFA dan mengatasi masalah kebocoran penonton,” ujarnya.

Dalam pada itu, KAFA juga mengalu-alukan peminat menjadi penaja pasukan The Red Warriors bagi meringankan beban kewangan KAFA musim ini.

Menurutnya, tajaan itu bernilai RM250 hingga RM3,000 ke atas dan setiap penaja akan mendapat tiket tempat duduk secara percuma.

Tambahnya, penaja RM250 akan mendapat tiket tempat duduk terbuka, penaja bernilai RM500 ke atas mendapat tiket tempat duduk astaka.

“Penaja RM1,500 ke atas pula akan mendapat tempat duduk astaka VIP serta cenderahati,” katanya.

–KOSMO




coded by nessus

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News