Tuesday, 16/10/2018


Johor 1-4 Kelantan

Published on May 11, 2010 by   ·   No Comments

KELANTAN kembali ke landasan tepat untuk mencabar Selangor di tangga teratas liga selepas menang bergaya 4-1 ke atas Johor dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos malam ini.

Mohd Badhri Mohd Radzi menjaringkan dua gol manakala dua lagi gol Kelantan disumbangkan ketua pasukan Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin dan jaringan sendiri pemain tuan rumah.

Beraksi di padang becak, tuan rumah lebih awal mencemaskan pasukan Kijang pada minit kelima selepas gerakan Rosaiful Nizam Omar menewaskan penjaga gol Kelantan, Syed Adney Syed Hussein tetapi sempat ditanduk keluar Azizi Mat Rose.

Namun anak buah B Sathianathan terlebih dulu memecah kebuntuan pada minit ke-15 menerusi sepakan percuma Badhri Radzi dari jarak 25 meter yang tepat menerjah jaring menewaskan penjaga gol Johor, Md Amrol Jaihan.

Rosaiful Nizam yang gagal menterjemah peluang di awal perlawanan menebus kehampaan itu pada minit ke-21 apabila menggunakan peluang ketika kekalutan di dalam kotak penalti dengan rembatan kencang untuk mengikat kedudukan 1-1.

Malang mula menimpa Johor apabila pengadil, Lismotia Mohem Mohd Tisan menghadiahkan sepakan penalti buat Kelantan pada minit ke-32 selepas bola terkena tangan L Ragesh di dalam kotak penalti dan Indra Putra Mahayuddin mudah menyempurnakannya untuk meletakkan pelawat di depan.

Kelantan terus selesa menjelang rehat apabila Badhri sekali lagi menggegar gawang menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti pada minit ke-44.

Derita tuan rumah berterusan pada minit ke-77 selepas Mohd Radzi Jasman tersilap melakukan tertampan ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang Norshahrul Idlan Talaha, sekali gus memastikan dominasi Kelantan di gelanggang lawan.

Kemenangan malam ini membolehkan Kelantan merapati Selangor dengan perbezaan tiga mata di belakang pasukan Red Giants itu. Manakala Johor kekal di tangga ke-13 Liga Super.

Selangor akan menanti kunjungan Negeri Sembilan Sabtu ini di Stadium Shah Alam.




coded by nessus

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News