Friday, 06/12/2019


Ganjaran khas menanti pemain Kelantan

Published on July 10, 2010 by   ·   No Comments

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjanjikan ganjaran khas kepada pemain Liga Super negeri itu jika mereka berjaya merangkul kejuaraan liga musim ini.

Sedar akan ranjau yang menanti ketika saingan Liga Super hanya berbaki lima perlawanan, ganjaran itu diharap membakar semangat juang pemain khasnya dalam aksi menentang juara bertahan, Selangor di Stadium Shah Alam malam ini.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, setiap kali mencipta kemenangan, pemain-pemain Kelantan akan mendapat ganjaran mengikut penarafan perlawanan yang ditetapkan KAFA.

“Perlawanan menentang Selangor agak unik, ianya ibarat perlawanan akhir bagi kedua-dua pasukan merebut kejuaraan liga.

“Kalau Selangor menang, sudah pasti sukar untuk kita mengejar kejuaraan, sebaliknya kalau Kelantan dapat mengalahkan Selangor, kejuaraan liga akan dapat kita capai dengan berbaki empat perlawanan itu.

“Semua pemain tahu bahawa apabila kita memenangi kejuaraan Liga Super sama seperti Kelantan memenangi kejuaraan Piala FA atau Piala Malaysia,” katanya.

Annuar berkata, KAFA akan memberikan ganjaran khas kepada semua pemain sekiranya mampu memenangi kejuaraan liga pada musim ini.

“Walau pun kita ketinggalan agak jauh (dari segi pungutan mata), tetapi kita tidak menyerah kalah sebaliknya apa yang kita lakukan selama ini telah membuahkan hasil.

“Saya mahu pemain berfikiran positif, memberi tumpuan yang penuh disamping menyusun strategi khas bagi menghadapi perlawanan ini.

“Walaupun K Devan ada menyatakan kelebihan memihak kepada pasukannya kerana bermain di tempat sendiri, tetapi rekod Kelantan sama ada bermain di Kota Bharu mahupun di luar adalah cemerlang,” katanya.

Annuar berkata, pada masa yang pemain Kelantan turut mempunyai kelebihan biarpun beraksi di Shah Alam kerana penyokong Kelantan sememangnya cukup ramai di Lembah Klang, iaitu dengan wujudnya kelab khas.

“Pertemuan menentang Selangor hadir tepat pada masanya dengan perlawanan dilangsungkan pada hujung minggu. “Kita tidak ada pilihan selain perlu mengalahkan mereka (Selangor) di Shah Alam,” katanya.




coded by nessus

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News