Monday, 22/07/2019


Devan hampa penyerang Gergasi Merah gagal berfungsi

Published on January 25, 2010 by   ·   No Comments

TIDAK siapa menyangka juara bertahan Liga Super, Selangor yang memiliki rekod serangan paling ampuh dan benteng kebal mampu dibolosi empat gol ketika beraksi menentang Terengganu kelmarin.

Jurulatih Selangor, K Devan pantas menuding jari kepada barisan penyerangnya yang diketuai Mohd Safee Sali, Mohd Amri Yahyah, Mohd Amirulhadi Zainal dan Mohd Hardi Jaafar kerana gagal memikul tugas dengan berkesan dalam perlawanan berkenaan.

Ketumpulan rangkaian Selangor menyaksikan beberapa percubaan ke gawang tuan rumah dipersia-siakan begitu saja selain mudah dipatahkan oleh barisan pertahanan skuad Penyu.

“Barisan pertahanan saya juga gagal beraksi cemerlang sehingga tuan rumah mudah membolosi dan menjaringkan gol,” kata Devan.

Dalam perlawanan berkenaan Terengganu mampu meranapkan rekod bersih Selangor dengan kemenangan besar 4-0 hasil jaringan Manaf Mamat, Ashaari Shamsuddin dan Joseph Kalang Tee.

Bagi jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, benteng yang diterajui ketua pasukan, Marzuki Yusof, Helmi Remli, Ronny Harun dan Mohd Muhaimin Omar berjaya menyerap asakan lawan dengan baik sehingga penyerang skuad Merah Kuning sukar mencari ruang untuk membolosi gawang pasukannya.




coded by nessus

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News