Thursday, 17/08/2017


Amaran awal Selangor buat pencabar Liga Super

Published on January 10, 2010 by   ·   No Comments

SELANGOR bagaikan memberi amaran awal akan kemampuan mereka bagi saingan Liga Super musim ini selepas berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih (Piala Sultan Ahmad Shah) selepas menumbangkan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Pada aksi pembuka tirai Liga Super musim 2010 itu, Selangor bermula garang apabila melancarkan serangan bertali arus ke kubu Negeri Sembilan.

Beraksi di hadapan kira-kira 35,000 penyokong sendiri, Negeri Sembilan yang lebih banyak bertahan terlebih dahulu mencemaskan lawan tetapi sepakan percuma Aidil Zafuan Abd Radzak terkena palang pada minit kelapan.

Negeri Sembilan yang juga juara Piala Malaysia musim lalu berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-27 apabila Idris Karim menanduk masuk gol hasil sepakan percuma ketua pasukan, Rezal Zambery.

Tersentak dengan gol tersebut, Selangor yang turun dengan reputasi sebagai juara Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih musim lalu mula melancarkan serangan balas.

Namun ketangkasan penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Harun berjaya menafikan beberapa percubaan skuad Gergasi Merah.

Pada separuh masa kedua, Selangor nyaris menggegar gawang Negeri Sembilan pada minit ke-49 tetapi tandukan Amri Yahyah terkena tiang.

Negeri Sembilan hampir menjaringkan gol kedua tetapi sepakan voley S. Kunalan pada minit ke-58 ditepis keluar penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.

Ketinggalan 0-1, jurulatih Selangor, K. Devan melakukan perubahan taktikal apabila melakukan dua pertukaran dan membawa masuk Mohd. Amirulhadi Zainal dan R. Surendren bagi menggantikan Faderin Kadir dan Hardi Jaafar.

Selangor menyamakan kedudukan pada minit ke-77 selepas Safee Sali menyudahkan hantaran Surendren.

Selangor memperoleh gol kemenangan pada minit ke-83 apabila Surendren bijak menolak masuk bola hantaran lintang Safee.




coded by nessus

Tags: , , , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News