Saturday, 08/08/2020


21 Gol tutup tirai pusingan pertama Liga Super

Published on May 5, 2010 by   ·   No Comments

KEHANGATAN Liga Super berterusan apabila sejumlah 21 gol berjaya dicipta dalam tujuh perlawanan yang turut menyaksikan malam gemilang buat Azlan Ismail apabila ledakan hatriknya membantu Kedah berpesta gol ke atas Terengganu.

Aksi penutup tirai bagi pusingan pertama Liga Super musim ini itu juga menyaksikan Selangor terus gah di persada liga dengan melebar jurang dengan pesaingnya kepada empat mata apabila Terengganu kecundang di tangan Kedah.

Terengganu yang ketinggalan tiga mata dengan Selangor sebelum aksi malam tadi juga terpaksa menyerah kedudukan di tangga kedua kepada pasukan jirannya, Kelantan apabila skuad The Red Warriors itu mengutip mata penuh di Kota Bharu hasil kemenangan 2-1 ke atas Pahang.

Selangor menang 3-1 ke atas Johor FC manakala Terengganu tunduk kepada Kedah dengan empat gol tanpa balas.

Perlawanan lain menyaksikan Pulau Pinang menang tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur hasil jaringan tunggal Mohd Failee Ghazali manakala KL Plus juga menang 1-0 mengatasi tuan rumah, Perak di Ipoh.

T-Team pula beraksi cemerlang menundukkan Juara Piala FA, Negeri Sembilan 2-1 di Kuala Terengganu sementara Perlis mengekal momentum kemenangan di gelanggang sendiri dengan kemenangan bergaya 4-2 ke atas Johor.

Pentas penutup tirai Liga Super juga menyaksikan penyerang Kedah, Azlan Ismail bersaing hebat dengan penggempur Terengganu, Mohd Ashaari Shamsuddin untuk dinobat selaku penjaring terbanyak Liga Super.

Ketika ini Mohd Ashaari masih kekal mendahului senarai dengan ledakan 11 gol manakala Azlan menyumbat 10 gol setakat ini diikuti Mohd Safee Sali (Selangor) dan Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan) yang masing-masing dengan sembilan gol.




coded by nessus

Tags: , ,

Readers Comments (0)




Latest News