Thursday, 18/10/2018


Selangor PKNS rampas takhta Liga Perdana

Published on January 15, 2010 by   ·   No Comments

ENAM perlawanan Liga Perdana yang berlangsung malam ini menyaksikan Selangor PKNS berjaya merampas kedudukan teratas liga daripada Melaka selepas menang 2-0 ke atas Sabah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Ia sekali gus menuruti jejak langkah pasukan negeri itu apabila mengungguli takhta Liga Super daripada Kedah.

Bermain di hadapan penyokong sendiri PKNS garang memburu gol sebaik perlawanan bermula dan berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-32 menerusi Mohd Zamri Hassan.

Zamri yang melepasi pertahanan Sabah tidak mempunyai masalah memperdaya benteng terakhir pasukan pelawat ketika hanya berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol.

Sebelum perlawanan babak pertama tamat, Zamri sekali lagi muncul wira apabila bijak mengawal bola ketika diasak pertahanan lawan dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan ke penjuru kiri yang menjangkaui penjaga gawang Sabah.

Biar pun cuba memburu gol dengan asakan bertali arus namun kedudukan 2-0 kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat sekali gus menyaksikan Sabah pulang dengan tangan kosong.

Felda United pula melonjak ke tangga kedua liga selepas membelasah Sarawak 4-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Perlawanan lain menyaksikan Pos Malaysia mencipta kejutan apabila menewaskan pendahulu liga sebelum ini, Melaka 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Harimau Muda pula mengikat Majlis Perbandaran Muar 2-2 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Shahzan Muda turut mengutip satu mata apabila seri 1-1 menentang ATM di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Perlawanan PDRM menentang USM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pula berkesudahan seri tanpa jaringan.

Berikut keputusan perlawanan Liga Perdana yang berlangsung malam ini:

Felda United 4 Sarawak 1

PKNS 2 Sabah 0

Shahzan Muda 1 ATM 1

Harimau Muda 2 MP Muar 2

Pos Malaysia 2 Melaka 0

PDRM 0 USM FC 0




coded by nessus

Tags: , , , , , , , , , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News