Sunday, 29/11/2020


Melaka guna pendekatan latihan ala tentera

Published on January 8, 2010 by   ·   No Comments

PERSATUAN Bola Sepak Melaka (MAFA) mengambil pendekatan drastik melengkapkan skuad Liga Perdana negeri itu menerusi latihan ala tentera selama enam hari bagi mengharungi saingan pertamanya berdepan Shahzan Muda pada 11 Januari ini.

Latihan yang bermula Ahad lalu dan akan berakhir Jumaat ini, diadakan di Kem Terendak, Sungai Udang dalam misi Mafa menyediakan pemain mantap dalam semua aspek termasuk mental dan fizikal.

Timbalan Presiden Mafa, Abd Malik Kasim berkata, gaya latihan itu dipercayai mampu menterjemah permainan mantap selain membolehkan kesebelasan utama beraksi melebihi 100 peratus pada setiap perlawanan.

Menurutnya, aspek persediaan gaya tentera itu dilihat amat relevan bagi membolehkan semua pemain yang terdiri daripada mereka yang berusia bawah 23 tahun memperagakan aksi agresif, mantap dan memiliki jati diri yang kuat.

Katanya, skuad bimbingan bekas penyerang kebangsaan, Rahim Abdullah itu menampakkan kesungguhan yang tinggi sepanjang latihan menerusi bimbingan pegawai tentera yang berpengalaman.

Sementara itu, Rahim berkata peluang pasukan meraih kemenangan berdepan Shahzan Muda di Stadium Hang Tuah, amat baik jika mereka mampu melaksanakan setiap perancangan yang disusun.

Walaupun tanpa pemain berpengalaman dan hampir 100 peratus pemain belum pernah beraksi di Liga Perdana, Rahim berkata kotmitmen tinggi mereka diyakini mampu membuahkan hasil yang menggembirakan.

“Saya tidak pernah berasa tertekan dengan barisan pemain mentah yang diberikan. Tetapi apa yang kami harapkan sokongan padu semua pihak memberi kepercayaan kepada pemain ini untuk membina keupayaan mereka pada saingan kelak.

“Sememangnya sukar melihat kejayaan segera tapi saya yakin pemain kali ini mampu memberi persembahan yang tidak mengecewakan,” katanya.

Skuad sama juga disenaraikan beraksi di pentas Sukan Malaysia (Sukma XIII) dan pengurusan pasukan berharap mereka mampu menuai emas ketika kejohanan dilangsungkan di tempat sendiri dari 10 hingga 19 Jun depan.




coded by nessus

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News