Wednesday, 05/08/2020


Liga Malaysia 2010 lebih hangat

Published on January 6, 2010 by   ·   No Comments

SAINGAN Liga Malaysia 2010 akan bermula minggu depan dan ia merupakan musim kedua berturut-turut liga tempatan kita berlangsung tanpa aksi pemain import.

Ketika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat pengumuman melarang khidmat pemain import mulai musim lalu, timbul pelbagai pro dan kontra terhadap keputusan itu.

Ada yang menyokong langkah FAM itu kerana pada pendapat mereka ia memberi peluang lebih luas kepada pemain tempatan untuk lebih kerap beraksi terutama di posisi penyerang, yang sekian lama dikuasai pemain import.

Tidak kurang juga yang menyanggah keputusan drastik FAM itu dengan alasan bola sepak kita masih perlu banyak belajar daripada pemain import.

Namun, kesan positif daripada larangan terhadap kemasukan import sudah dirasai apabila skuad Bawah 23 tahun negara memenangi pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA XXV di Laos.

Kejayaan itu masih segar dirasai kerana ia detik yang sememangnya kita nanti-nantikan sejak 20 tahun lalu selepas kali terakhir kita memenanginya pada Sukan SEA 1989, itupun di bumi sendiri.

Bahang kehangatan kejuaraan bola sepak di Laos pastinya akan dibawa dalam Liga Super terutama di kalangan pemain muda demi mengukir nama dalam arena bola sepak tempatan.

Kuasa tradisi

Juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan bersama-sama Selangor dan pasukan meningkat naik, Kelantan diramal terus menjadi kuasa tradisi Liga Super musim 2010.

Namun, Johor, T-Team dan Kuala Lumpur yang merupakan pendatang baru mampu memberi saingan bersama-sama dengan Terengganu, Perak, Kedah, Perlis, Pahang, Pulau Pinang, Johor FC, Terengganu dan KL PLUS.

Selangor yang hampir mencipta sejarah merangkul empat piala semusim pada 2009, diramal akan meneruskan kecemerlangan di bawah jurulatih K Devan.

Pelucutan jawatan bekas pengurus pasukannya, Zakaria Ab Rahim tidak akan menjejaskan tumpuan untuk Selangor mengulangi kecemerlangan musim lalu walaupun di akui Zakaria terbukti berjaya meningkatkan mutu bola sepak Selangor.

Perlis pula pastinya lebih bersemangat untuk mengharungi Liga Super 2009 selepas menjuarai Piala Emas Raja-Raja 2009, baru-baru ini.

Kehilangan dua tonggak utama, Nizaruddin Yusof dan Azi Shahril Azmi, Perlis tidak mahu beraksi pada tahap sederhana dan yakin corak permainan pantas akan menjadi teraju kejayaan mereka musim depan.

Pengurus pasukan, Mohd Noor Aziz menyandarkan harapan di bahu pemain muda termasuk pemain baru Azrul Ahmad (Kedah) dan Mohd. Noor Hazrul Mustafa (Perak).

“Walaupun kami kehilangan pemain berpengalaman seperti Nizar dan Azi tetapi kehadiran pemain baru bakal mengubah corak permainan Perlis kerana semangat mereka begitu berkobar-kobar,” katanya.

Sentuhan jurulatih muda berpengalaman Mohd Nidzam Adzha Yusof bakal mengubah Perlis dengan permainan yang lebih segar dan berfikir dengan lebih pantas.

Satu lagi pasukan yang perlu diawasi musim depan pastinya Terengganu.

Pasukan itu mungkin akan menjadi sebuah pasukan yang sukar untuk ditembusi dengan penyertaan Ronny Harun yang digandingkan di bahagian pertahanan bersama ketua pasukan, Marzuki Yusof.

Jurulatih baru mereka, Irfan Bakti Abu Salim yakin Ronny bakal membantu skuad Terengganu untuk mencatatkan keputusan cemerlang.

Selain Ronny, Terengganu telah mendapatkan lima lagi muka baru iaitu K. Rajan, Tengku Hasbulah Raja Hassan, Mohd Firdaus Mohd Faudzi, Joseph Kalang Tie dan Helmi Remeli.

Dalam pada itu, pasukan bertaraf kelab, KL PLUS pula membentuk gandingan mantap menerusi pemain baru dan lama.

Kehadiran beberapa tonggak baru seperti penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Nizaruddin Yusof dan perancang Perlis, Azi Sharil Azmi dijangka memantapkan lagi pasukan tersebut.

“Kehadiran Nizar, Azi dan Es Lizuan Zahid Amir bakal memantapkan pasukan tetapi saya perlu menilai persefahaman antara pemain baru dan lama terlebih dahulu,” kata jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris.

Perak pula mendapat khidmat lima pemain baru iaitu K. Nantha Kumar, bekas penjaga gol Perlis, Khairul Izwan Mohamed Jamaluddin; bekas pemain T-Team, Shafuan Adli Shaari; bekas pemain Pahang, Wan Azwari Wan Noh dan bekas penyerang Melaka, Mohd. Fauzzi Mohd Kassim.

Pasukan Seladang menyasarkan kedudukan empat terbaik dengan ramai pemain musim lalu dikekalkan termasuk Khairul Amri Salehuddin, Mohd. Arif Fazlie, Isma Alif Mohd. Salim, Muhammad Khalis Ibrahim, Mohd. Hafiszuan Salehuddin, Mohd. Syazwan Roslan, Benedict Martin, Mohd. Nazri Mohd Kamal, Mohd. Hafiz Abdul Rahman, Razali Umar Kandasamy, Shahrizal Mohd. Saad, Kamarul Effendy Abdul Rahman, Mohd. Fauzi Ariffin, Mohd. Arif Ismail dan Saufi Saadi.

Pendatang baru

Pendatang baru Liga Super, T-Team pula menyasarkan kedudukan empat teratas dalam saingan musim depan.

Jurulatihnya, Che Ku Marzuki Mohd. Nor berkata, pasukannya sudah bersedia untuk menyaingi pasukan terbaik tempatan dalam Liga Super menerusi persediaan yang terbaik di sepanjang tempoh rehat saingan bola sepak tempatan.

“Walaupun dilabel pendatang baru, saya yakin T-Team mampu menyaingi pasukan-pasukan handalan dalam Liga Super musim depan,” katanya.

Kuala Lumpur mendapat ‘kenaikan pangkat’ apabila ditawarkan bermain dalam Liga Super selepas penarikan diri KM Naza dan UPB-MyTeam.

Skuad bimbingan Razip Ismail itu ditawarkan ke Liga Super atas faktor kecekapan pengurusan kewangannya.

Johor pula yakin mampu menempatkan dirinya di antara empat pasukan teratas di dalam Liga Super.

Pasukan itu yang dibimbing oleh kelolaan Nasir Yusoff, yang juga dikenali sebagai The Professor, diletakan harapan tinggi untuk mengembalikan semula era kegemilangan bola sepak negeri Johor.

Ketika era kegemilangannya, Johor banyak menghasilkan pemain kebangsaan termasuk Dollah Salleh, Khalid Shahdan, Nasir yang kini melatih Johor, Salehan Mat Som dan ramai lagi.

Johor akan dibarisi pemain-pemain yang berkebolehan dan berpengalaman negara.

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News