Monday, 21/08/2017


ATM, Harimau Muda kongsi mata di Selayang

Published on January 12, 2010 by   ·   No Comments

PEMAIN gantian, Khairul Izuan Rosli menjaringkan gol empat minit sebelum perlawanan untuk memastikan Harimau Muda membawa pulang satu mata selepas mengikat ATM 1-1 dalam aksi sulung Liga Perdana di Stadium Selayang, malam tadi.

Terdahulu bekas penyerang kebangsaan, V Saravanan yang menyambut hari jadi ke-32 semalam membuka jaringan pembukaan buat ATM pada minit ke-78 dalam aksi kurang lancar kedua-dua pasukan akibat hujan pada sebelah petang, mengakibatkan padang agak licin.

ATM yang turun tanpa bekas penyerang Kelantan, Khalid Jamlus selepas dipecat akibat masalah disiplin nyaris membuka jaringan seawal minit kesembilan tetapi percubaan Danial Fadzly Abdullah di depan pintu gol tepat ke dakapan penjaga gol Harimau Muda, Izham Tarmizi Roslan.

Harimau Muda sesekali mengasak ke kubu ATM yang dikawal penjaga gol, Khairul Anuar Mohd tetapi ketiadaan penyerang utama, A Thamil Arasu yang dikeluarkan pada minit ke-23 akibat kecederaan menjejaskan rentak serangan mereka.

Kedua-dua pasukan mengakhiri perlawanan babak pertama tanpa sebarang gol.

Di babak kedua, ATM memasukkan Saravanan bagi menggantikan bekas pemain muda Selangor, Fauzan Dzulkifli dan percaturan itu nyata berhasil apabila penyerang itu berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-78 selepas menolak masuk bola hantaran Syafiq Abd Samad dari sebelah kanan.

Bagaimanapun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Harimau Muda memperoleh gol penyamaan pada minit ke-86 menerusi jaringan Khairul Izuan.

Di minit-minit akhir perlawanan, Harimau Muda nyaris menjaringkan gol kemenangan tetapi percubaan ketua pasukan, Irfan Fazail sedikit tersasar ketika dia hanya berhadapan dengan penjaga gol ATM.




coded by nessus

Tags: , , , , ,

Readers Comments (0)




Latest News